Sheikh Sya'rawi berkata: "Selepas itu, Allah menceritakan berkenaan dengan Maryam kerana ia merupakan subjek utama. Begitu juga masalah rezeki yang dikurniakan kepadanya tanpa sebarang kesusahan dan kepayahan daripada Allah SWT." Ayat ke-42 Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (ingatlah Wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu, dan mensucikanmu, dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu). Iktibar dan fiqh ayat : i. Ibn Jauzi berkata: "Maksud dengan penyucian di sini ialah:- nPertama: Suci daripada haid seperti kata Ibnu Abbas r.a. nKedua: Suci daripada disentuh lelaki seperti kata Ibnu Abbas r.a juga. nKetiga: Suci daripada kekufuran seperti kata al-Hassan dan Mujahid. nKeempat: Suci daripada kejian dan dosa seperti kata al-Muqatil. ii. Al-Maraghi berkata: "Sesungguhnya Allah SWT telah memilih pengabdianmu kepada Baitu al-Muqaddis dan membersihkanmu daripada kecelakaan material mahupun moral, serta memberikan keistimewaan kepadamu dengan mendapat anak tanpa disentuh oleh mana-mana lelaki serta memuliakanmu daripada sekelian perempuan lain pada setiap masa." iii. Hamka berkata: "Adalah satu kemuliaan baginya, sebab dia sebagai nazar ibunya berkhidmat di rumah suci. Adalah kemuliaan baginya kerana guru pengasuhnya adalah seorang Nabi dan Rasul yang besar. "Adalah kemuliaan baginya bahawa dia adalah satu-satunya perempuan yang dipilih Allah SWT untuk melahirkan Isa a.s ke dunia tanpa perantaraan seorang bapa. Satu lagi riwayat menyatakan Maryam benar-benar suci dan tidak pernah dikotori dengan haid. Sebab itu dia disebut juga Maryam az-Zahra, sebagai Fatimah puteri Rasulullah SAW menurut beberapa riwayat tidak diberi haid oleh Allah SAW tetapi tidak menghalangi beliau beroleh putera Hasan dan Husain. "Menurut sebuah hadis daripada Nabi SAW ada tiga perempuan yang amat mulia. Pertama, Maryam binti Imran. Kedua, Khadijah binti Khuwalid (isteri Rasulullah SAW yang pertama). Ketiga, Fatimah binti Muhammad. Ayat ke-43 Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan sembahyang) bersama-sama orang-orang yang rukuk. Iktibar dan fiqh ayat: i. Al-Maraghi berkata: "Taatlah engkau kepada Tuhanmu dan tunduklah kepada-Nya serta sembahyanglah bersama-sama di tempat sembahyang sedangkan Maryam sudah biasa menetap di mihrabnya". ii. Hamka berkata: "Selalulah engkau beribadat kepada Allah SWT sehingga kemuliaan dan pilihan atas diri engkau yang diberikan Tuhan bertambah cemerlang. Sebagaimana Imam al-Ghazali pernah mengisahkan bahawasanya Nabi Isa a.s sendiri kadang-kadang membawa bunga karang untuk menghapus air matanya yang mengalir kerana ingat akan Tuhan dan burung yang sedang terbang pun terpegun mendengarkan bunyi kecapi Nabi Daud a.s menyanyikan nama Tuhan dan Nabi Muhammad SAW sampai sesemut kakinya kerana lamanya sembahyang malam. Bertambah mulia kedudukan mereka di sisi Tuhan, tunduk merendah diri kepada Allah SWT." Ayat ke-44 Firman Allah SWT yang bermaksud: Peristiwa yang demikian ialah sebahagian dari berita-berita ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (Wahai Muhammad), sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka mencampakkan kalam masing-masing (untuk mengundi) siapakah di antara mereka yang akan memelihara Maryam. Dan engkau juga (Wahai Muhammad) tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka berkelahi (tentang perkara menjaga dan memelihara Maryam). Iktibar dan fiqh ayat: i. Al-Maraghi berkata: "Inilah antara beberapa cerita mengenai Maryam dan Nabi Zakaria a.s yang Kami ceritakan kepadamu, meskipun engkau sendiri tidak pernah menyaksikannya sama sekali. "Begitu juga orang lain daripada kaummu dan engkau pun tidak membacanya daripada mana-mana buku, bahkan tidak seorang pun mengajarkannya kepadamu. Tetapi kerana wahyu yang Kami berikan kepadamu melalui Jibril a.s, ia dapat menjadi bukti kebenaran kenabian hamba Kami dan menolak pengingkaran yang menentangmu". ii. Mohamad Quraish Shihab berkata: "Itulah peristiwa yang dialami oleh isteri Imran, Nabi Zakaria a.s serta Maryam a.s sebahagian dari berita-berita ghaib yang kami wahyukan kepadamu dari saat ke saat wahai Muhamad SAW. "Kini kamu mengetahuinya, padahal engkau wahai Muhamad SAW tidak berada di sisi mereka untuk mengisyaratkan bahawa informasi tersebut tidak terbuka dan hampir tidak diketahui oleh manusia". iii. Hamka berkata: "Allah SWT menjelaskan bahawasanya berita ini, baik berita nazar isteri Imran atau pengasuhan Nabi Zakaria a.s ke atas Maryam atau doa Nabi Zakaria a.s agar diberi anak. Semuanya adalah berita ghaib yang tidak diterima oleh orang lain tetapi diwahyukan terus kepada Nabi Muhammad SAW. "Ditekankan lagi peringatan Allah SWT akan kesucian Maryam yang diceritakan kepada Muhammad SAW". Dalam bahasa Arab perkataan istifa' khususnya pada ayat ini merupakan sifat khusus yang dimiliki Maryam. Dia melahirkan seorang nabi tanpa disentuh oleh mana-mana lelaki. Pemilihan seperti ini tidak dinyatakan dengan perbuatan, tetapi disediakan dengan sifat khusus ini. Dalam perkara ini, terkandung kesaksian yang membebaskan dirinya daripada apa yang didakwakan oleh orang Yahudi terhadap dirinya. Ayat-ayat yang kita bincangkan ini kemuliaan Maryam dan ia diperintah Allah supaya sentiasa taat dan patuh dengan berdoa dan solat kepada-Nya. Alangkah baiknya jika sekiranya kita menempatkan diri bersama golongan yang sentiasa taat dan patuh kepada-Nya.
Labels: Kisah Nabi Dan Rasul