Cerita tersebut memang tercatat dalam al-Quran pada akhir surah Al-Kahfi yang bermula dari ayat 65-82. Dikatakan (dikisahkan) Nabi Musa pada suatu hari ada berkata bahawa dialah manusia yang paling alim. Lalu Allah mahu mengingatkanya bahawa ada lagi orang lain yang lebih alim daripadanya selain Allah. Iaitu seorang hamba-Nya yang dikurniakan ilmu daripada-Nya. Orang ini dikatakan bernama Khaidhir. Lalu Nabi Musa ingin bertemu dan belajar dengan hamba itu. Dan bila Nabi Musa bertemu dengannya, baginda pun berkata bolehkah aku mengikutimu untuk belajar. Jawab Khaidhir: Boleh, tetapi dengan syarat bila kamu ikut aku maka jangan bertanyaku sesuatu sehingga aku bagi tahu kamu jawapannya. Dan kamu tidak mampu bersabar denganku , bagaimana boleh kamu tahan sabar terhadap perkara yang kamu tidak dapat memahami rahsianya. Ringkas ceritanya: Mereka pun berjalanlah sehingga sampai di satu pelabuhan dan terpaksa menaiki kapal. Apabila kapal itu tiba di destinasinya penumpang pun turun lalu Khaidhir tidak terus turun malah mengambil kapak dan melubangkan kapal tersebut. Nabi Musa pun hairan, kenapa kamu rosakkan kapal ini yang telah membawa kita semua dengan selamat. Sedangkan anak kapal tersebut sangat memuliakan mereka berdua. Sepatutnya kita semua terhutang budi dengan mereka, kamu telah lakukan kerja bodoh. Maka jawab Khaidhir bukankah aku kata, yang kamu tidak mampu bersabar denganku. Kemudian jawab Musa ia terlupa dan iapun memohon maaf. Lalu mereka meneruskan perjalanannya dan bertemu dengan anak-anak yang sedang bermain lalu Khadhir menangkap budak itu dan membunuhnya. Kata Nabi Musa: Kenapa kamu bunuh budak kecil yang tidak berdosa. Ini satu kesalahan yang amat besar. Jawab Khaidhir: “Aku dah katakan kamu tidak mampu bersabar dengan-Ku”. Kata Nabi Musa, “Sekiranya aku bertanya lagi maka jangan berkawan lagi denganku cukuplah kesilapanku denganmu yang tidak tertahan.” Lalu mereka berjalan lagi sehingga tiba di sebuah kampung dalam keadaan kelaparan dan ingin mendapatkan makanan dari penduduk kampung yang kedekut itu. Tetapi seluruh penduduk kampung enggan menjamu mereka, lalu bermalamlah mereka dalam kelaparan tetapi Khaidhir apabila bertemu dengan dinding yang hampir roboh lalu beliau bertungkus lumus menegakkanya kembali sekalipun dalam kelaparan. Kata Nabi Musa, “Elok kalau kamu minta sedikit upah atas kerjamu itu untuk menghilang kelaparan kita ini.” Kata Khaidhir, “Inilah tiba masa perpisahan antara kita. Aku akan ceritakan rahsia perkara yang kamu tidak tahan sabar mengenainya. “Adapun kapal yang aku rosakkan tempoh hari adalah milik orang miskin yang bekerja (mata pencarian hidup mereka) dalam laut. Aku rosakkannya untuk mengelak dari dirampas raja zalim yang akan merampas semua kapal yang baik-baik. Ini dilakukan supaya dia boleh bekerja membawa penumpang dengan selamat kelak. Dan ternyata selepas itu kapal itulah satu-satunya kapal yang tidak dirampas dan dapat bekerja belayar berulang alik membawa penumpang. Dan kehidupan pekerja kapal yang miskin tadi berubah menjadi senang dan kaya-raya. “Adapun budak kecil yang dibunuh tadi kerana bila besar nanti dia akan menderhakai ibu bapanya, lalu kemudian Allah ingin menggantikannya dengan anaknya yang lain yang lebih baik dan menyayangi lagi menghormati mereka. Adapun dinding yang hampir roboh tadi, adalah milik dua anak yatim dalam bandar tersebut. Tetapi oleh kerana mereka masih kecil dan tidak mampu menjaga dinding tersebut dengan baik maka aku betulkan sehingga mereka besar nanti dapatlah mereka keluarkan gedung harta yang tersembunyi di bawahnya sebagai harta simpanan dari ibu bapa mereka yang soleh. “Ini semua kerana rahmat dari Tuhanmu. Semuanya ada rahsia yang kamu tidak mampu bersabar atasnya. Antara pengajaran yang dapat difahami dari kisah tersebut ialah: Tidak ada mereka yang lebih alim melainkan ada di atasnya Yang Maha Mengetahui daripadanya. Kita disuruh belajar sekalipun dengan orang yang lebih rendah dari kita dan setiap perkara yang berlaku itu pasti ada hikmatnya dan sekalipun ianya berupa musibah tetapi pasti ada bersamanya rahmat dan nikmat.” Allah berfiman bermaksud: Sungguhnya berserta kesusahan itu kesenangan (surah al-Insyirah ayat 5-6) Wallahualam.
Labels: Kisah Nabi Dan Rasul
Daripada Ibnu Mas’ud ra bahawasanya ia berkata: Ketika ajal Rasulullah SAW sudah dekat, baginda mengumpul kami di rumah Siti Aisyah ra. Kemudian baginda memandang kami sambil berlinangan air matanya, lalu bersabda:“Marhaban bikum, semoga Allah memanjangkan umur kamu semua, semoga Allah menyayangi, menolong dan memberikan petunjuk kepada kamu. Aku berwasiat kepada kamu, agar bertakwa kepada Allah. Sesungguhnya aku adalah sebagai pemberi peringatan untuk kamu. Janganlah kamu berlaku sombong terhadap Allah.”
Allah berfirman: “Kebahagiaan dan kenikmatan di akhirat. Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan dirinya dan membuat kerosakan di muka bumi. Dan kesudahan syurga itu bagi orang-orang yang bertakwa.”
Kemudian kami bertanya: “Bilakah ajal baginda ya Rasulullah? Baginda menjawab: Ajalku telah hampir, dan akan pindah ke hadhrat Allah, ke Sidratulmuntaha dan ke Jannatul Makwa serta ke Arsyila’ la.”
Kami bertanya lagi: “Siapakah yang akan memandikan baginda ya Rasulullah? Rasulullah menjawab: Salah seorang ahli bait. Kami bertanya: Bagaimana nanti kami mengafani baginda ya Rasulullah?
Baginda menjawab: “Dengan bajuku ini atau pakaian Yamaniyah.”
Kami bertanya: “Siapakah yang mensolatkan baginda di antara kami?” Kami menangis dan Rasulullah SAW pun turut menangis.
Kemudian baginda bersabda: “Tenanglah, semoga Allah mengampuni kamu semua. Apabila kamu semua telah memandikan dan mengafaniku, maka letaklah aku di atas tempat tidurku, di dalam rumahku ini, di tepi liang kuburku, kemudian keluarlah kamu semua dari sisiku. Maka yang pertama-tama mensolatkan aku adalah sahabatku Jibril as. Kemudian Mikail, kemudian Israfil kemudian Malaikat Izrail (Malaikat Maut) beserta bala tenteranya. Kemudian masuklah anda dengan sebaik-baiknya. Dan hendaklah yang mula solat adalah kaum lelaki dari pihak keluargaku, kemudian yang wanita-wanitanya, dan kemudian kamu semua.”
Semakin Tenat
Semenjak hari itulah Rasulullah SAW bertambah sakitnya, yang ditanggungnya selama 18 hari, setiap hari ramai yang mengunjungi baginda, sampailah datangnya hari Isnin, di saat baginda menghembus nafas yang terakhir.
Sehari menjelang baginda wafat iaitu pada hari Ahad, penyakit baginda semakin bertambah serius. Pada hari itu, setelah Bilal bin Rabah selesai mengumandangkan azannya, ia berdiri di depan pintu rumah Rasulullah, kemudian memberi salam: “Assalamualaikum ya Rasulullah?” Kemudian ia berkata lagi “Assolah yarhamukallah.”
Fatimah menjawab: “Rasulullah dalam keadaan sakit?” Maka kembalilah Bilal ke dalam masjid, ketika bumi terang disinari matahari siang, maka Bilal datang lagi ke tempat Rasulullah, lalu ia berkata seperti perkataan yang tadi. Kemudian Rasulullah memanggilnya dan menyuruh ia masuk.
Setelah Bilal bin Rabah masuk, Rasulullah SAW bersabda: “Saya sekarang dalam keadaan sakit, Wahai Bilal, kamu perintahkan sahaja agar Abu Bakar menjadi imam dalam solat.”
Maka keluarlah Bilal sambil meletakkan tangan di atas kepalanya sambil berkata: “Aduhai, alangkah baiknya bila aku tidak dilahirkan ibuku?” Kemudian ia memasuki masjid dan berkata kepada Abu Bakar agar beliau menjadi imam dalam solat tersebut.
Ketika Abu Bakar ra melihat ke tempat Rasulullah yang kosong, sebagai seorang lelaki yang lemah lembut, ia tidak dapat menahan perasaannya lagi, lalu ia menjerit dan akhirnya ia pengsan. Orang-orang yang berada di dalam masjid menjadi bising sehingga terdengar oleh Rasulullah SAW. Baginda bertanya: “Wahai Fatimah, suara apakah yang bising itu? Siti Fatimah menjawab: Orang-orang menjadi bising dan bingung kerana Rasulullah SAW tidak ada bersama mereka.”
Kemudian Rasulullah SAW memanggil Ali bin Abi Thalib dan Abbas ra, sambil dibimbing oleh mereka berdua, maka baginda berjalan menuju ke masjid. Baginda solat dua rakaat, setelah itu baginda melihat kepada orang ramai dan bersabda: “Ya ma’aasyiral Muslimin, kamu semua berada dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah, sesungguhnya Dia adalah penggantiku atas kamu semua setelah aku tiada. Aku berwasiat kepada kamu semua agar bertakwa kepada Allah SWT, kerana aku akan meninggalkan dunia yang fana ini. Hari ini adalah hari pertamaku memasuki alam akhirat, dan sebagai hari terakhirku berada di alam dunia ini.”
Malaikat Maut Datang Bertamu
Pada hari esoknya, iaitu pada hari Isnin, Allah mewahyukan kepada Malaikat Maut supaya ia turun menemui Rasulullah SAW dengan berpakaian sebaik-baiknya. Dan Allah menyuruh kepada Malaikat Maut mencabut nyawa Rasulullah SAW dengan lemah lembut. Seandainya Rasulullah menyuruhnya masuk, maka ia dibolehkan masuk, namun jika Rasulullah SAW tidak mengizinkannya, ia tidak boleh masuk, dan hendaklah ia kembali sahaja.
Maka turunlah Malaikat Maut untuk menunaikan perintah Allah SWT. Ia menyamar sebagai seorang biasa. Setelah sampai di depan pintu tempat kediaman Rasulullah SAW, Malaikat Maut itupun berkata: “Assalamualaikum Wahai ahli rumah kenabian, sumber wahyu dan risalah!” Fatimah pun keluar menemuinya dan berkata kepada tamunya itu: “Wahai Abdullah (Hamba Allah), Rasulullah sekarang dalam keadaan sakit.”
Kemudian Malaikat Maut itu memberi salam lagi: “Assalamualaikum. Bolehkah saya masuk?” Akhirnya Rasulullah SAW mendengar suara Malaikat Maut itu, lalu baginda bertanya kepada puterinya Fatimah: “Siapakah yang ada di muka pintu itu? Fatimah menjawab: “Seorang lelaki memanggil baginda, saya katakan kepadanya bahawa baginda dalam keadaan sakit. Kemudian ia memanggil sekali lagi dengan suara yang menggetarkan sukma.”
Rasulullah SAW bersabda: “Tahukah kamu siapakah dia?” Fatimah menjawab: “Tidak wahai baginda.” Lalu Rasulullah SAW menjelaskan: “Wahai Fatimah, ia adalah pengusir kelazatan, pemutus keinginan, pemisah jemaah dan yang meramaikan kubur.”
Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Masuklah, Wahai Malaikat Maut. Maka masuklah Malaikat Maut itu sambil mengucapkan ‘Assalamualaika ya Rasulullah.” Rasulullah SAW pun menjawab: Waalaikassalam Ya Malaikat Maut. Engkau datang untuk berziarah atau untuk mencabut nyawaku?”
Malaikat Maut menjawab: “Saya datang untuk ziarah sekaligus mencabut nyawa. Jika tuan izinkan akan saya lakukan, kalau tidak, saya akan pulang.
Rasulullah SAW bertanya: “Wahai Malaikat Maut, di mana engkau tinggalkan kecintaanku Jibril? “Saya tinggal ia di langit dunia?” Jawab Malaikat Maut.
Baru sahaja Malaikat Maut selesai bicara, tiba-tiba Jibril as datang kemudian duduk di samping Rasulullah SAW. Maka bersabdalah Rasulullah SAW: “Wahai Jibril, tidakkah engkau mengetahui bahawa ajalku telah dekat? Jibril menjawab: Ya, Wahai kekasih Allah.”
Ketika Sakaratul Maut
Seterusnya Rasulullah SAW bersabda: “Beritahu kepadaku Wahai Jibril, apakah yang telah disediakan Allah untukku di sisinya? Jibril pun menjawab; “Bahawasanya pintu-pintu langit telah dibuka, sedangkan malaikat-malaikat telah berbaris untuk menyambut rohmu.”
Baginda SAW bersabda: “Segala puji dan syukur bagi Tuhanku. Wahai Jibril, apa lagi yang telah disediakan Allah untukku? Jibril menjawab lagi: Bahawasanya pintu-pintu Syurga telah dibuka, dan bidadari-bidadari telah berhias, sungai-sungai telah mengalir, dan buah-buahnya telah ranum, semuanya menanti kedatangan rohmu.”
Baginda SAW bersabda lagi: “Segala puji dan syukur untuk Tuhanku. Beritahu lagi wahai Jibril, apa lagi yang di sediakan Allah untukku? Jibril menjawab: Aku memberikan berita gembira untuk tuan. Tuanlah yang pertama-tama diizinkan sebagai pemberi syafaat pada hari kiamat nanti.”
Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Segala puji dan syukur, aku panjatkan untuk Tuhanku. Wahai Jibril beritahu kepadaku lagi tentang khabar yang menggembirakan aku?”
Jibril as bertanya: “Wahai kekasih Allah, apa sebenarnya yang ingin tuan tanyakan? Rasulullah SAW menjawab: “Tentang kegelisahanku, apakah yang akan diperolehi oleh orang-orang yang membaca Al-Quran sesudahku? Apakah yang akan diperolehi orang-orang yang berpuasa pada bulan Ramadhan sesudahku? Apakah yang akan diperolehi orang-orang yang berziarah ke Baitul Haram sesudahku?”
Jibril menjawab: “Saya membawa khabar gembira untuk baginda. Sesungguhnya Allah telah berfirman: Aku telah mengharamkan Syurga bagi semua Nabi dan umat, sampai engkau dan umatmu memasukinya terlebih dahulu.”
Maka berkatalah Rasulullah SAW: “Sekarang, tenanglah hati dan perasaanku. Wahai Malaikat Maut dekatlah kepadaku?” Lalu Malaikat Maut pun berada dekat Rasulullah SAW.
Ali ra bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, siapakah yang akan memandikan baginda dan siapakah yang akan mengafaninya? Rasulullah menjawab: Adapun yang memandikan aku adalah engkau wahai Ali, sedangkan Ibnu Abbas menyiramkan airnya dan Jibril akan membawa hanuth (minyak wangi) dari dalam Syurga.
Kemudian Malaikat Maut pun mulai mencabut nyawa Rasulullah. Ketika roh baginda sampai di pusat perut, baginda berkata: “Wahai Jibril, alangkah pedihnya maut.”
Mendengar ucapan Rasulullah itu, Jibril as memalingkan mukanya. Lalu Rasulullah SAW bertanya: “Wahai Jibril, apakah engkau tidak suka memandang mukaku? Jibril menjawab: Wahai kekasih Allah, siapakah yang sanggup melihat muka baginda, sedangkan baginda sedang merasakan sakitnya maut?” Akhirnya roh yang mulia itupun meninggalkan jasad Rasulullah SAW.
Kesedihan Sahabat
Berkata Anas ra: “Ketika aku lalu di depan pintu rumah Aisyah ra aku dengar ia sedang menangis, sambil mengatakan: Wahai orang-orang yang tidak pernah memakai sutera. Wahai orang-orang yang keluar dari dunia dengan perut yang tidak pernah kenyang dari gandum. Wahai orang yang telah memilih tikar daripada singgahsana. Wahai orang yang jarang tidur di waktu malam kerana takut Neraka Sa’ir.”
Dikisahkan dari Said bin Ziyad dari Khalid bin Saad, bahawasanya Mu’az bin Jabal ra telah berkata: “Rasulullah SAW telah mengutusku ke Negeri Yaman untuk memberikan pelajaran agama di sana. Maka tinggallah aku di sana selama 12 tahun. Pada satu malam aku bermimpi dikunjungi oleh seseorang, kemudian orang itu berkata kepadaku: “Apakah anda masih lena tidur juga wahai Mu’az, padahal Rasulullah SAW telah berada di dalam tanah.”
Mu’az terbangun dari tidur dengan rasa takut, lalu ia mengucapkan: “A’uzubillahi minasy syaitannir rajim?” Setelah itu ia lalu mengerjakan solat.
Pada malam seterusnya, ia bermimpi seperti mimpi malam yang pertama. Mu’az berkata: “Kalau seperti ini, bukanlah dari syaitan?” Kemudian ia memekik sekuat-kuatnya, sehingga didengar sebahagian penduduk Yaman.
Pada esok harinya orang ramai berkumpul, lalu Mu’az berkata kepada mereka: “Malam tadi dan malam sebelumnya saya bermimpi yang sukar untuk difahami. Dahulu, bila Rasulullah SAW bermimpi yang sukar difahami, baginda membuka Mushaf (al-Quran). Maka berikanlah Mushaf kepadaku. Setelah Mu’az menerima Mushaf, lalu dibukanya maka nampaklah firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati pula?”
(Az-Zumar: 30).
Maka menjeritlah Mu’az, sehingga ia tak sedarkan diri. Setelah ia sedar kembali, ia membuka Mushaf lagi, dan ia nampak firman Allah yang berbunyi:
“Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada orang-orang yang bersyukur?”
(Ali-lmran: 144)
Maka Mu’az pun menjerit lagi: “Aduhai Abal-Qassim. Aduhai Muhammad?” Kemudian ia keluar meninggalkan Negeri Yaman menuju ke Madinah. Ketika ia akan meninggalkan penduduk Yaman, ia berkata: “Seandainya apa yang kulihat ini benar. Maka akan meranalah para janda, anak-anak yatim dan orang-orang miskin, dan kita akan menjadi seperti biri-biri yang tidak ada pengembala.”
Kemudian ia berkata: “Aduhai sedihnya berpisah dengan Nabi Muhammad SAW?” Lalu iapun pergi meninggalkan mereka. Di saat ia berada pada jarak lebih kurang tiga hari perjalanan dari Kota Madinah, tiba-tiba terdengar olehnya suara halus dari tengah-tengah lembah, yang mengucapkan firman Allah yang bermaksud:
“Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati.”
Lalu Mu’az mendekati sumber suara itu, setelah berjumpa, Mu’az bertanya kepada orang tersebut: “Bagaimana khabar Rasulullah SAW? Orang tersebut menjawab: Wahai Mu’az, sesungguhnya Muhammad SAW telah meninggal dunia. Mendengar ucapan itu Mu’az terjatuh dan tak sedarkan diri. Lalu orang itu menyedarkannya, ia memanggil Mu’az: Wahai Mu’az sedarlah dan bangunlah.”
Ketika Mu’az sedar kembali, orang tersebut lalu menyerahkan sepucuk surat untuknya yang berasal dari Abu Bakar Assiddik, dengan cop dari Rasulullah SAW. Tatkala Mu’az melihatnya, ia lalu mencium cop tersebut dan diletakkan di matanya, kemudian ia menangis dengan tersedu-sedu.
Setelah puas ia menangis iapun melanjutkan perjalanannya menuju Kota Madinah.
Mu’az sampai di Kota Madinah pada waktu fajar menyingsing. Didengarnya Bilal sedang mengumandangkan azan Subuh. Bilal mengucapkan: “Asyhadu Allaa Ilaaha Illallah?” Mu’az menyambungnya: “Wa Asyhadu Anna Muhammadur Rasulullah?” Kemudian ia menangis dan akhirnya ia jatuh dan tak sedarkan diri lagi.
Pada saat itu, di samping Bilal bin Rabah ada Salman Al-Farisy ra lalu ia berkata kepada Bilal: “Wahai Bilal sebutkanlah nama Muhammad dengan suara yang kuat dekatnya, ia adalah Mu’az yang sedang pengsan.
Ketika Bilal selesai azan, ia mendekati Mu’az, lalu ia berkata: “Assalamualaika, angkatlah kepalamu wahai Mu’az, aku telah mendengar dari Rasulullah SAW, baginda bersabda: “Sampaikanlah salamku kepada Mu’az.”
Maka Mu’az pun mengangkatkan kepalanya sambil menjerit dengan suara keras, sehingga orang-orang menyangka bahawa ia telah menghembus nafas yang terakhir, kemudian ia berkata: “Demi ayah dan ibuku, siapakah yang mengingatkan aku pada baginda, ketika baginda akan meninggalkan dunia yang fana ini, wahai Bilal? Marilah kita pergi ke rumah isteri baginda Siti Aisyah ra.”
Ketika sampai di depan pintu rumah Siti Aisyah, Mu’az mengucapkan: “Assalamualaikum ya ahlil bait, wa rahmatullahi wa barakatuh?” Yang keluar ketika itu adalah Raihanah, ia berkata: “Aisyah sedang pergi ke rumah Siti Fatimah. Kemudian Mu’az menuju ke rumah Siti Fatimah dan mengucapkan: “Assalamualaikum ya ahli bait.”
Siti Fatimah menyambut salam tersebut, kemudian ia berkata: “Rasulullah SAW bersabda: Orang yang paling alim di antara kamu tentang perkara halal dan haram adalah Mu’az bin Jabal, ia adalah kekasih Rasulullah SAW.”
Kemudian Fatimah berkata lagi: “Masuklah wahai Mu’az?” Ketika Mu’az melihat Siti Fatimah dan Aisyah ra ia terus pengsan dan tak sedarkan diri. Ketika ia sedar, Fatimah lalu berkata kepadanya: “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sampaikanlah salam saya kepada Mu’az dan khabarkan kepadanya bahawasanya ia kelak di hari kiamat sebagai imam ulama.”
Kemudian Mu’az bin Jabal keluar dari rumah Siti Fatimah menuju ke arah kubur Rasulullah SAW.
Labels: Kisah Nabi Dan Rasul
SUBUH:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Subuh ialah Nabi Adam a.s., iaitu tatkala baginda keluar dari syurga lalu dihantar ke bumi. Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan dan baginda berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar Subuh telah keluar Nabi Adam a.s. pun bersembahyang dua rakaat.
# Rakaat pertama:- Bersyukur baginda kerana terlepas dari kegelapan malam.
# Rakaat kedua:- Bersyukur baginda kerana siang telah menjelma.
ZOHOR:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Zohor ialah Nabi Ibrahim a.s., iaitu tatkala Allah s.w.t. telah memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. Sedang seruan itu datangnya pada waktu tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim empat rakaat.
# Rakaat pertama:- Bersyukur bagi penebusan.
# Rakaat kedua:- Bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya.
# Rakaat ketiga:- Bersyukur dan bermohon akan keredhaan Allah.
# Rakaat keempat:- Bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.
ASAR:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Asar ialah Nabi Yunus a.s., tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah dari perut ikan nun. Ikan nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah daripada 4 kegelapan iaitu:
# Rakaat pertama:- Kelam dengan kesalahan.
# Rakaat kedua:- Kelam dengan air laut.
# Rakaat ketiga:- Kelam dengan malam.
# Rakaat keempat:- Kelam dengan perut ikan Nun.
MAGHRIB:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Maghrib ialah Nabi Isa a.s., tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah dari kejahilan dan kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya matahari. Bersyukurlah Nabi Isa lalu bersembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut, iaitu:
# Rakaat pertama:- Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah yang Maha Esa.
# Rakaat kedua:- Untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.
# Rakaat ketiga:- Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah jua, tiada dua atau tiga.
ISYAK:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Isyak ialah Nabi Musa a.s. Pada ketika itu Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah lalu menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir. Lalu sembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur.
# Rakaat pertama:- Dukacita terhadap isterinya.
# Rakaat kedua:- Dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun.
# Rakaat ketiga:- Dukacita terhadap Firaun.
# Rakaat keempat:- Dukacita terhadap anak Firaun.
Labels: Kisah Nabi Dan Rasul
APAKAH kamu tidak memerhatikan orang yang mendebat Ibrahim tentang Tuhannya (Allah) kerana Allah memberikan kepada orang itu pemerintahan (kekuasaan). Ketika Ibrahim mengatakan: "Tuhanku ialah Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan." Orang itu berkata: "Saya dapat menghidupkan dan mematikan." Ibrahim berkata, "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, maka terbitkanlah dia dari barat." Lalu terdiamlah orang kafir itu dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim. (al-Baqarah: 258) Peristiwa ini berlaku selepas sahaja baginda keluar dari api yang membakar dirinya. Nabi Ibrahim semakin bersemangat untuk meneruskan dakwah kerana bertambah yakin dengan petunjuk dan perlindungan daripada Allah SWT. Baginda menjalankan dakwah tidak berhenti-henti kepada kaumnya. Suatu hari, kegiatan dakwahnya itu telah diketahui oleh Raja Namrud. Raja Namrud berasa sangat risau dan susah hati. Dia bimbang kekuasaannya akan tergugat kerana dakwah yang dijalankan oleh Nabi Ibrahim. Dia juga bimbang sekiranya kerajaannya akan musnah disebabkan oleh pengaruh dan dakwah yang dijalankan oleh Nabi Ibrahim. Raja Namrud telah memanggil Nabi Ibrahim supaya datang mengadapnya. Apabila Nabi Ibrahim tiba, Raja Namrud pun bertanya kepada Nabi Ibrahim: "Apakah fitnah dan api permusuhan yang engkau sebar dan engkau khabarkan di tengah-tengah rakyatku? Siapa Tuhan yang engkau minta rakyatku menyembahnya? Ada lagikah Tuhan yang engkau kenal dan patut disembah selain aku? Siapa yang mempunyai kedudukan setinggi kedudukanku dan siapa yang memiliki kekuasaan seluas kekuasaanku? Tidakkah engkau nampak, aku berkuasa mengatur dan mentadbir kerajaanku yang luas ini, menetapkan dan membatalkan sesuatu menurut kehendakku tanpa ada sesiapa dapat menghalangnya ? Segala keputusanku ditaati dan tidak ada sesiapa pun dapat menundanya. Semua orang bergantung kepadaku untuk meminta pertolongan dan mereka tidak berani melawannya. Mengapa engkau berani menentang aku? Kamu bukan menghina malah merosakkan sembahan-sembahan rakyatku." Nabi Ibrahim pun menjawab kata-kata Raja Namrud itu dengan tenang sekali, "Aku tidak menyebarkan fitnah atau menimbulkan kekacauan. Aku hanya membawa kebenaran dan mahu menghapuskan kesesatan. Aku mengajak orang ramai supaya menyekbah Allah, Tuhan yang menghidupkan dan mematikan, memberi kehidupan kepada makhluk-Nya atau mencabut nyawa. Itulah Tuhan yang aku sembah dan aku mengajak orang menyembah-Nya. Bukan patung-patung yang dibuat oleh mereka sendiri." Namrud berasa amat tidak berpuas hati. "Jika Tuhan yang engkau sembah dapat menghidupkan dan mematikan, aku pun mampu melakukannya. Seseorang yang mesti menjalani hukuman mati apabila diampunkan olehku maka dia akan hidup dan apabila orang itu dijatuhi hukuman mati, maka ertinya aku telah mematikan dia. Sekarang tidak ada bezanya Tuhanmu dengan diriku. Mengapa engkau tidak menyembahku?" Nabi Ibrahim masih tidak berputus asa. "Baiklah, Tuhanku telah menciptakan matahari dengan kedudukan terbit setiap hari di sebelah timur dan terbenam di sebelah barat. Jika engkau benar-benar berkuasa, cubalah engkau ubah kedudukannya itu. Dapatkah engkau melakukannya?" Namrud akhirnya terdiam seketika. Dia tidak dapat melawan kata-kata dan hujah daripada Nabi Ibrahim. Mulai dari saat itulah, Namrud menganggap Nabi Ibrahim sebagai musuh yang perlu dilayan dengan berhati-hati. Dia tidak mahu menampakkan kebencian yang nyata kepada Nabi Ibrahim. Sebagai langkah berjaga-jaga Namrud telah menghantar beberapa pasukan pengawal untuk menyiasat segala kegiatan Nabi Ibrahim.
Labels: Kisah Nabi Dan Rasul
DAN wanita (Zulaikha) yang Yusuf tinggal di rumahnya menggoda Yusuf untuk menundukkan dirinya (kepadanya) dan dia menutup pintu-pintu seraya berkata: "Marilah memperlakukan aku dengan baik." Sesungguhnya orang yang zalim tidak akan beruntung. Sesungguhnya wanita itu telah bermaksud (melakukan perbuatan itu dengan Yusuf dan Yusuf bermaksud (melakukan pula) dengan wanita itu andai dia tidak melihat tanda (dari) Tuhannya. Demikianlah, agar kami memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba-hamba yang terpilih. (Yusuf: 23-24) Zulaikha merupakan isteri kepada pembesar Mesir yang membeli Nabi Yusuf daripada rombongan kalifah yang menjualkan. Zulaikha tertarik dengan ketampanan yang dimiliki oleh Nabi Yusuf. Ketampanan Nabi Yusuf ini juga telah membuatkan Zulaikha jatuh cinta terhadapnya. Pada suatu hari, Zulaikha berniat untuk menggoda Nabi Yusuf. Ketika itu, suaminya tidak ada di rumah. Zulaikha telah menutup kesemua pintu rumahnya lalu mendekati Nabi Yusuf sambil berkata, "Wahai Yusuf, kemarilah engkau ke sini," ajak Zulaikha. "Aku berlindung kepada Allah dan memohon keampunan daripada-Nya. Sesungguhnya suamimu telah memperlakukan aku dengan baik," jawab Nabi Yusuf. Zulaikha tidak mengendahkan kata-kata Nabi Yusuf itu. Zulaikha menghulurkan tangannya untuk memeluk Nabi Yusuf tetapi Nabi Yusuf berjaya mengelakkan dirinya. Nabi Yusuf terus berlalu ke muka pintu. Zulaikha mengejarnya dan sempat menarik baju Nabi Yusuf sehingga terkoyak. Pintu bilik terus dibuka. Zulaikha amat terkejut apabila melihat suaminya berdiri di muka pintu. Pembesar tersebut memandang mereka dengan wajah yang penuh curiga. Untuk membela dirinya, Zulaikha telah menuduh Nabi Yusuf cuba menggodanya. "Wahai suamiku, balasan apakah yang patut diberikan kepada orang yang cuba menggoda isterimu?" kata Zulaikha, berpura-pura tidak bersalah. "Dia yang menggodaku. Aku menolak ajakan isterimu, lantas dia menarik bajuku lalu terkoyak," jelas Nabi Yusuf sebagai membela dirinya. Pembesar tersebut mendengar penjelasan daripada Zulaikha dan juga Nabi Yusuf. Untuk mendapatkan kebenaran dan keadilan, pembesar itu telah mengambil seorang saksi daripada ahli keluarga untuk mengadili perkara tersebut. "Jika pakaian Yusuf ini koyak di hadapan, maka kata-kata Zulaikha itu benar dan Yusuf telah berdusta. Tetapi, jika baju itu koyak di belakang, maka Zulaikhalah yang berdusta dan Yusuf bercakap benar," kata wanita itu. Apabila melihat kepada pakaian Nabi Yusuf itu, maka terbuktilah bahawa Zulaikha yang berdusta dalam perkara itu. Pembesar tersebut meminta maaf dan Nabi Yusuf akhirnya terlepas daripada fitnah yang dilemparkan oleh Zulaikha.
Labels: Kisah Nabi Dan Rasul
BUKU yang paling menjadi bacaan di seluruh dunia, The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History. (Terbitan New York: Carol Publishing Group/Citadel Press) karya Michael H. Hart yang diterbitkan pada 1978 telah menimbulkan kejutan apabila penulis meletakkan Nabi Muhammad SAW menduduki tempat paling teratas sebagai individu yang paling berpengaruh dalam sejarah dunia! Ramai yang mempersoalkan pemilihan beliau itu lebih-lebih lagi sebagai penulis Barat beliau sewajarnya menobatkan Nabi Isa a.s yang dikatakan mempunyai lebih ramai pengikut yang menganut Kristian. Alasan Hart, Rasulullah melebihi Nabi Isa apabila didapati Baginda tidak sahaja sebagai pesuruh Allah dan nabi terakhir di muka bumi. Namun yang jelas Baginda mempunyai ketokohan yang sangat tinggi sebagai diplomat, ahli perniagaan, ahli falsafah, pemidato, pakar undang-undang, ahli pembaharuan dan pemimpin tentera serta ketua keluarga. "Saya memilih Muhammad bagi mengetuai senarai manusia yang paling berpengaruh dalam sejarah mungkin mengejutkan sesetengah pembaca dan dipersoalkan oleh sesetengah yang lain. "Akan tetapi Baginda merupakan satu-satunya dalam sejarah dunia yang mencapai kejayaan yang paling gemilang yang tidak sahaja dalam agama malah di peringkat sekular (dunia)," kata Hart. Jika Hart mampu mengenali Rasulullah sebegini dekat, bermakna penulis buku ini begitu mengkaji seluruh sejarah riwayat hidup sehingga kewafatan Baginda. Lebih-lebih lagi kepada umat Islam itu sendiri yang setiap kali mengucapkan kalimah syahadah mengakui sepenuh hati bahawa Baginda adalah pesuruh Allah, adakah mereka sendiri mengenali Baginda? Belum terlambat apatah lagi dengan adanya sebuah buku yang diterbitkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) pada 2004 yang kemudian di ulang cetak pada 2006 dan 2008. Buku Sirah Nabawiyyah SAW setebal 733 halaman muka surat ini diterbitkan selepas memenangi Johan Sayembara Penulisan Sirah Nabawiyyah anjuran Rabitah Al Alam Al Islami. Buku ini pada asalnya ditulis oleh pensyarah di Universiti Salafiyyah al Sheikh Safiyyu al Rahman al Mubarakfuri yang diterbitkan oleh Dar al Basyir Tanta, Mesir yang kemudian diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Muhammad Ramzi Omar. Tugas menterjemah sesungguhnya bukan mudah, tidak ramai yang sanggup mendepani cabaran dengan tanpa meninggalkan sepatah perkataan pun untuk diterjemah. Namun ternyata Muhammad Ramzi mampu melaksanakan tugas sukar ini bagi membuktikan demi kecintaan kita terhadap Rasulullah, buku ini akhirnya berjaya dihasilkan. Buku ini tidak menceritakan mengenai Baginda Rasulullah dari detik kelahirannya di muka bumi ini. Namun penulis buku menjelaskan kepada pembaca mengenai peri pentingnya kepada mereka untuk mengetahui sejarah Tanah Arab itu sendiri terlebih dahulu. Penulis perlu mengambil 'masa' sedikit, terutama mengenali bangsa Arab dan kerajaan-kerajaan awal yang memerintah di pelbagai wilayah di Semenanjung Arab. Ini membawa kepada gambaran mengenai keadaan politik, ekonomi dan sosial bangsa tersebut sebelum kelahiran Nabi Muhammad. Ini semua bagi membolehkan para pembaca menjadi lebih jelas dan memahami siapa sebenarnya bangsa Arab dan peristiwa-peristiwa yang sehingga membawa kepada turunnya agama Islam secara rasmi. Begitupun di peringkat permulaan bagi mengambil apa yang disifatkan sebagai yang wajib tahu mengenai sirah Rasulullah dari buku ini, mungkin perlu dinukilkan terlebih dahulu mengenai Rasulullah secara fizikal. Walaupun ramai mengetahui gambaran-gambaran wajah, tubuh dan keperibadian Baginda seperti diceritakan dari mulut ke mulut atau bahan bacaan, namun jarang terdapat ia diungkap dari mulut mereka yang pernah menemui atau yang sezaman dengan Rasulullah itu sendiri. Anak angkat, menantu yang juga merupakan antara sahabat-sahabat besar Rasulullah dalam satu riwayat menceritakan mengenai Baginda. Saidina Ali bin Abi Talib, berkata Nabi Muhammad, orangnya tidak tinggi melampai dan tidak terlalu rendah, ketinggiannya sederhana di kalangan orang lain. Rambut lebatnya tidak kerinting dan tidak juga lurus tetapi antara keduanya, tidak bermuka cengkung dan tidak tembam. Mukanya bulat dan putih kemerahan. Kalau dia berjalan di tanah maka diangkat kakinya tanpa menyeret ke bumi bagaikan sedang berjalan di tanah yang cerun. Kalau Baginda berpaling maka beliau akan berpaling berserta badannya. Antara dua belikatnya ada cap kenabian yang menunjukkan Baginda penyudah segala nabi, sebagaimana yang diceritakan oleh seorang rahib Nasrani, Bahira ketika baginda berusia 12 tahun dibawa bapa saudaranya, Abu Talib berdagang di Syam. "Sesungguhnya aku mengenalinya dengan cap kenabian di bawah tulang belikatnya seperti buah epal. Kami dapatinya ada disebutkan dalam kitab-kitab kami". Sementara Ummu Ma'bad al Khuzaiyyah menceritakan mengenai Baginda kepada suaminya tatkala Rasulullah singgah di khemah mereka dalam hijrahnya. "Seorang yang ketara keseriannya, putih mukanya, baik akhlaknya, tidak merasai beban oleh badan yang besar, tidak boleh diperlekehkan kerana kepalanya yang kecil, indah rupa paras dan menarik perhatian, luas dan tampak jelas mata putih dan mata hitamnya, rambutnya lebat, suaranya serak-serak basah, lehernya jinjang, mata hitamnya sangat ketara, tampak urat lengannya, alisnya nipis, kening bercantum dan rambutnya sangat hitam. "Kalau Baginda diam nampak nyata kehebatannya dan kalau dia berbicara nampak nyata keterampilannya, manusia paling menawan dan paling menarik jika dipandang dari jauh, paling cantik dan manis dari dekat..." kata Ummu Ma'bad. Al Barra berkata, Baginda ialah orang yang paling tampan wajahnya dan paling indah akhlaknya. Al Rubayyi binti Mu'awwidh berkata; "Kalau engkau melihat Baginda, bagaikan engkau melihat matahari yang terbit". Abu Hurairah pula berkata; "Tidak pernah ku melihat sesuatu pun yang lebih indah daripada Rasulullah bagaikan matahari berarak di mukanya. Tidak pernah aku lihat seorang yang lebih cepat berjalan daripada Rasulullah bagaikan bumi dilipatkan untuknya dan kami terpaksa mengagahi diri kami sedangkan Rasulullah berjalan bersahaja". Tulisan yang diambil sebahagian daripada banyak lagi cerita mengenai gambaran fizikal Rasulullah dari bab terakhir di buku ini, tidak bertujuan memberikan ilham kepada mana-mana pihak untuk menggunakan kepakaran dalam seni lukis bagi menghasilkan lukisan Rasulullah secara fizikal. Ini kerana sebaik mana atau sehebat manapun potret yang dilakar tidak akan menyamai mengenai gambaran sebenar Rasulullah. Selain perkara ini diharamkan dilakukan oleh mana-mana pihak. Namun tidak lebih gambaran ini bagi menambahkan kecintaan kita kepada Rasulullah sebagaimana yang sering diungkap; "Dari mana datangnya cinta, dari mata jatuh ke hati!" Terkadang sebelum kita berkongsi kepayahan yang terpaksa dilalui oleh Rasulullah dalam tugas Baginda menyebarkan Islam perlu 'menampakkan' terlebih dahulu siapa Baginda. Sirah Rasulullah bukan sebarang catatan memoir. Ini kerana jika Baginda diiktiraf sebagai manusia paling berpengaruh di muka bumi ini bererti penceritaan kisah dan sejarah Baginda bukan sebarangan. Ini kerana al-Quran turut memaparkan segala kisah Rasulullah bagi mengesahkan segala kebenaran mengenai pesuruh Allah ini dan buku ini memperkayakan lagi khazanah pengetahuan mengenai Baginda.
Labels: Kisah Nabi Dan Rasul
SETELAH Nabi Musa menghadapi pelbagai rintangan, baginda terpaksa pula berhadapan dengan Firaun dan pengikutnya. Allah memerintahkan baginda menyeru Firaun bersama pengikutnya supaya menyembah Allah. Firaun memerintah Mesir dengan kejam dan zalim. Firaun juga mengaku dirinya sebagai Tuhan. Nabi Musa memohon kepada Allah agar diberikannya seorang teman dan sebagai wazir bagi dirinya iaitu saudaranya yang bernama Harun. Allah SWT telah memakbulkan doa Nabi Musa. Allah telah memberi ilham kepada Harun supaya segera berangkat mendapatkan Nabi Musa di Thur Sina. Maka bertemulah dua saudara itu. Mereka berjanji akan saling membantu untuk sama-sama melepaskan rakyat Mesir daripada disesatkan oleh Firaun yang sombong dan zalim itu. Allah SWT telah memerintahkan Nabi Musa bersama Harun mengadap Firaun dengan segera. Allah mahu Nabi Musa dan Nabi Harun menyeru Firaun dengan lemah-lembut. Kedua-duanya segera menuju ke Mesir dan bertemu dengan Firaun. Mereka menyeru Firaun dan pengikutnya agar menyembah Allah, namun Firaun tidak mengendahkan seruan mereka. "Bukankah kami yang mendidik kamu. Kami yang membesarkan kamu. Kamu tinggal dengan kami bertahun-tahun lamanya," kata Firaun kepada Nabi Musa dengan marah. "Adakah kerana penjagaan aku dulu engkau mahukan balasan yang baik? Bukankah itu kejahatan yang engkau lakukan terhadap kaum Bani Israel?" tanya Nabi Musa. "Aku meninggalkan istana kerana aku tidak mahu tersesat dengan kepercayaan kamu, wahai Firaun. Aku telah mendapat rahmat daripada Allah SWT. Allah telah mengangkat aku menjadi rasul-Nya," terang Nabi Musa. "Siapakah tuhan bagi seluruh alam ini?" tanya Firaun. "Allah, Tuhan bagi seluruh alam ini. Bukannya kamu. Allah yang menjadikan langit dan bumi," terang Nabi Musa. Firaun amat marah kerana tidak dapat mengalahkan Nabi Musa dengan kata-kata. Maka dia menggunakan kekuatan yang ada padanya. Firaun mahu Nabi Musa dipenjarakan sekiranya Nabi Musa enggan menyembahnya. Nabi Musa tidak takut dengan apa yang diperintahkan Firaun kepadanya. Baginda mahu menunjukkan mukjizat yang diberikan oleh Allah kepadanya. "Mahukah engkau melihat mukjizat hebat yang Allah bagi kepadaku?" tanya Nabi Musa. "Aku tidak akan percaya sebelum melihat bukti yang nyata. Aku mahu melihat bukti itu," jawab Firaun. Dengan penuh harapan, Nabi Musa memperlihatkan mukjizat Allah berikan kepadanya. Baginda telah melemparkan tongkat lalu menjadi ular yang besar dan memasukkan tangannya ke dalam saku bajunya. Apabila tangan itu dikeluarkan, tangan tersebut mengeluarkan sinar yang berkilauan. Nabi Musa mahu Firaun insaf dan sedar apabila melihat bukti itu. Walaupun sudah terbukti, Firaun tetap tidak mahu menyembah Allah. Kehebatan yang ada pada Nabi Musa diperkecil-kecilkan oleh Firaun. Dia menganggap mukjizat yang ada pada Nabi Musa itu adalah sihir semata-mata. PENGAJARAN Pendekatan yang berhikmah perlu ada dalam setiap pendakwah. Begitu juga dengan sikap lemah lembut walaupun berhadapan dengan orang yang menentang ajaran agama atau bersikap zalim.
Labels: Kisah Nabi Dan Rasul
Sheikh Sya'rawi berkata: "Selepas itu, Allah menceritakan berkenaan dengan Maryam kerana ia merupakan subjek utama. Begitu juga masalah rezeki yang dikurniakan kepadanya tanpa sebarang kesusahan dan kepayahan daripada Allah SWT." Ayat ke-42 Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (ingatlah Wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu, dan mensucikanmu, dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu). Iktibar dan fiqh ayat : i. Ibn Jauzi berkata: "Maksud dengan penyucian di sini ialah:- nPertama: Suci daripada haid seperti kata Ibnu Abbas r.a. nKedua: Suci daripada disentuh lelaki seperti kata Ibnu Abbas r.a juga. nKetiga: Suci daripada kekufuran seperti kata al-Hassan dan Mujahid. nKeempat: Suci daripada kejian dan dosa seperti kata al-Muqatil. ii. Al-Maraghi berkata: "Sesungguhnya Allah SWT telah memilih pengabdianmu kepada Baitu al-Muqaddis dan membersihkanmu daripada kecelakaan material mahupun moral, serta memberikan keistimewaan kepadamu dengan mendapat anak tanpa disentuh oleh mana-mana lelaki serta memuliakanmu daripada sekelian perempuan lain pada setiap masa." iii. Hamka berkata: "Adalah satu kemuliaan baginya, sebab dia sebagai nazar ibunya berkhidmat di rumah suci. Adalah kemuliaan baginya kerana guru pengasuhnya adalah seorang Nabi dan Rasul yang besar. "Adalah kemuliaan baginya bahawa dia adalah satu-satunya perempuan yang dipilih Allah SWT untuk melahirkan Isa a.s ke dunia tanpa perantaraan seorang bapa. Satu lagi riwayat menyatakan Maryam benar-benar suci dan tidak pernah dikotori dengan haid. Sebab itu dia disebut juga Maryam az-Zahra, sebagai Fatimah puteri Rasulullah SAW menurut beberapa riwayat tidak diberi haid oleh Allah SAW tetapi tidak menghalangi beliau beroleh putera Hasan dan Husain. "Menurut sebuah hadis daripada Nabi SAW ada tiga perempuan yang amat mulia. Pertama, Maryam binti Imran. Kedua, Khadijah binti Khuwalid (isteri Rasulullah SAW yang pertama). Ketiga, Fatimah binti Muhammad. Ayat ke-43 Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan sembahyang) bersama-sama orang-orang yang rukuk. Iktibar dan fiqh ayat: i. Al-Maraghi berkata: "Taatlah engkau kepada Tuhanmu dan tunduklah kepada-Nya serta sembahyanglah bersama-sama di tempat sembahyang sedangkan Maryam sudah biasa menetap di mihrabnya". ii. Hamka berkata: "Selalulah engkau beribadat kepada Allah SWT sehingga kemuliaan dan pilihan atas diri engkau yang diberikan Tuhan bertambah cemerlang. Sebagaimana Imam al-Ghazali pernah mengisahkan bahawasanya Nabi Isa a.s sendiri kadang-kadang membawa bunga karang untuk menghapus air matanya yang mengalir kerana ingat akan Tuhan dan burung yang sedang terbang pun terpegun mendengarkan bunyi kecapi Nabi Daud a.s menyanyikan nama Tuhan dan Nabi Muhammad SAW sampai sesemut kakinya kerana lamanya sembahyang malam. Bertambah mulia kedudukan mereka di sisi Tuhan, tunduk merendah diri kepada Allah SWT." Ayat ke-44 Firman Allah SWT yang bermaksud: Peristiwa yang demikian ialah sebahagian dari berita-berita ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (Wahai Muhammad), sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka mencampakkan kalam masing-masing (untuk mengundi) siapakah di antara mereka yang akan memelihara Maryam. Dan engkau juga (Wahai Muhammad) tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka berkelahi (tentang perkara menjaga dan memelihara Maryam). Iktibar dan fiqh ayat: i. Al-Maraghi berkata: "Inilah antara beberapa cerita mengenai Maryam dan Nabi Zakaria a.s yang Kami ceritakan kepadamu, meskipun engkau sendiri tidak pernah menyaksikannya sama sekali. "Begitu juga orang lain daripada kaummu dan engkau pun tidak membacanya daripada mana-mana buku, bahkan tidak seorang pun mengajarkannya kepadamu. Tetapi kerana wahyu yang Kami berikan kepadamu melalui Jibril a.s, ia dapat menjadi bukti kebenaran kenabian hamba Kami dan menolak pengingkaran yang menentangmu". ii. Mohamad Quraish Shihab berkata: "Itulah peristiwa yang dialami oleh isteri Imran, Nabi Zakaria a.s serta Maryam a.s sebahagian dari berita-berita ghaib yang kami wahyukan kepadamu dari saat ke saat wahai Muhamad SAW. "Kini kamu mengetahuinya, padahal engkau wahai Muhamad SAW tidak berada di sisi mereka untuk mengisyaratkan bahawa informasi tersebut tidak terbuka dan hampir tidak diketahui oleh manusia". iii. Hamka berkata: "Allah SWT menjelaskan bahawasanya berita ini, baik berita nazar isteri Imran atau pengasuhan Nabi Zakaria a.s ke atas Maryam atau doa Nabi Zakaria a.s agar diberi anak. Semuanya adalah berita ghaib yang tidak diterima oleh orang lain tetapi diwahyukan terus kepada Nabi Muhammad SAW. "Ditekankan lagi peringatan Allah SWT akan kesucian Maryam yang diceritakan kepada Muhammad SAW". Dalam bahasa Arab perkataan istifa' khususnya pada ayat ini merupakan sifat khusus yang dimiliki Maryam. Dia melahirkan seorang nabi tanpa disentuh oleh mana-mana lelaki. Pemilihan seperti ini tidak dinyatakan dengan perbuatan, tetapi disediakan dengan sifat khusus ini. Dalam perkara ini, terkandung kesaksian yang membebaskan dirinya daripada apa yang didakwakan oleh orang Yahudi terhadap dirinya. Ayat-ayat yang kita bincangkan ini kemuliaan Maryam dan ia diperintah Allah supaya sentiasa taat dan patuh dengan berdoa dan solat kepada-Nya. Alangkah baiknya jika sekiranya kita menempatkan diri bersama golongan yang sentiasa taat dan patuh kepada-Nya.
Labels: Kisah Nabi Dan Rasul
PADA suatau hari, Nabi Sulaiman memerintahkan burung hud-hud menyampaikan sepucuk surat kepada Ratu Balqis. Tujuan surat itu dihantar ialah untuk menyedarkan Ratu Balqis supaya tidak meninggi diri dengan anugerah Allah SWT yang diberikan kepadanya dan menyeru menyembah Allah SWT. Setelah membaca surat itu Ratu Balqis terus mengumpulkan para pembesar dan para penasihat kerajaan untuk membincangkan tindakan yang harus diambil berhubung dengan surat Nabi Sulaiman itu. Mereka bersepakat untuk mengirim hadiah yang paling berharga untuk Nabi Sulaiman. Beberapa hari kemudian, pergilah utusan Ratu Balqis menghantar hadiah itu kepada Nabi Sulaiman. Ketika sampainya utusan Ratu Balqis, Nabi Sulaiman menyambut mereka dengan baik. Nabi Sulaiman tidak sedikitpun berbangga dengan hadiah yang dibawa oleh mereka itu. Malah Nabi Sulaiman berkata kepada mereka, "Kembalilah kalian semua dan bawalah hadiah ini semula kepada ratu kalian. Allah SWT telah mengurniakan pelbagai nikmat kepada aku. Allah SWT telah memberikan aku kekayaan dan rezeki melimpah ruah yang tidak diberikannya kepada seseorang pun daripada makhluk-Nya. "Sampaikan kepada ratu kalian, aku tidak perlu harta kekayaan atau kekuasaan, tapi aku mahu ratu kalian bersama kalian menyembah dan patuh kepada perintah Allah SWT. Janganlah kalian semua menyembah selain daripada Allah SWT dan katakan kepadanya, sekiranya dia enggan menyembah dan patuh kepada perintah Allah, kami akan segera menghantar tentera kami untuk menentangnya." Maka kembalilah utusan Ratu Balqis dengan segera ke istananya. Tiba sahaja di istana, para utusannya menceritakan amanat yang telah disampaikan oleh Nabi Sulaiman. Ratu Balqis mendengar dengan tenang. "Kalau begitu, tidak ada cara dan usaha lain kecuali kita hanya tunduk dan menurut ajaran Nabi Sulaiman itu," kata Ratu Balqis. "Baiklah," jawab para utusannya. Beberapa hari kemudian, berangkatlah Ratu Balqis bersama para pembesarnya menuju ke istana Nabi Sulaiman.
Labels: Kisah Nabi Dan Rasul
MENURUT ayat ini, ketika Allah SWT berfirman kepada nabi-Nya, bahawa Aku akan menyelamatkanmu dan mengangkatmu ke sisi-Ku adalah sebagai tindakan memperdaya musuh Nabi Isa. a.s. Ayat ini merupakan khabar gembira tentang selamatnya Nabi Isa a.s daripada tipu daya mereka, sehingga mereka tidak berhasil melaksanakan niat jahat dan tipu muslihat kepada Nabi Isa. Iktibar dan fiqh ayat : Para ulama berbeza pendapat terhadap ayat ini. Pendapat mereka terbahagi kepada dua: i. Ibn Kathir berkata dalam tafsirnya: "Dalam susunan kalimah ayat ini, sepatutnya kalimah yang berada di hadapan diletakkan di belakang. Dari itu terbentuklah, "Sesungguhnya Aku mengangkatmu ke sisi-Ku dan menyelamatkanmu". Maksudnya, sekarang Aku mengangkat kamu dan nanti kamu akan Aku matikan sesudah kamu turun dari langit, jika saat kematianmu telah tiba. Menurut pendapat ini, Nabi Isa a.s diangkat ke langit dengan jasad dan rohnya dalam keadaan hidup, dan akan turun ke dunia pada akhir zaman, lalu Baginda akan memerintah manusia dengan syariat kita, kemudian Baginda akan wafat. ii. Al-Qurtubi berkata: "Pada akhir ayat ini di mana Allah SWT menjadikan golongan yang mengikut Rasulullah SAW mengatasi orang-orang kafir dengan hujah dan mendatangkan bukti". Ada pendapat dengan kemuliaan dan kemenangan. Al-Dhahaq dan Muhammad Ibn Abban berkata: "Dengan pembantu atauhawariyyin". iii. Ayat ini secara harfiyyahnya, bermaksud kewafatan (penyelamatan) adalah kematian biasa. Sedangkan diangkat sesudah wafat bermaksud diangkat rohnya. Tidak hairan jika dalam perbincangan disebut perkataan 'orang' tetapi maksud di sini hanya 'roh' sahaja kerana roh yang sebenarnya menjadi hakikat orang. Sedangkan tubuh adalah sebagai ibarat baju pinjaman, boleh bertambah, berkurangan dan berubah. Manusia itu tetap manusia selagi rohnya itu tetap ada. Jadi menurut pendapat kedua ini, ayat di atas bermaksud, "Sesungguhnya Aku mematikanmu, dan sesudah kematian itu Aku tempatkan engkau di tempat yang tinggi di sisi-Ku," sebagaimana firman Allah SWT kepada Nabi Idris a.s bermaksud: Dan Kami telah mengangkatnya ke tempat yang tinggi darjatnya. Ibn Ishaq berkata: "Kristian menyangka bahawa Allah SWT mematikan Nabi Isa a.s selama tujuh jam kemudian menghidupkannya". Matar al-Warraq berkata: "Sesungguhnya aku mematikan kamu daripada dunia dan bukan dengan mati sebagai kematian". Ibn Juraij berkata: "Maksud mati ialah mengangkatnya". Kebanyakan ulama berpendapat dikehendaki dengan wafat di sini dengan maksud tidur berdasarkan kepada beberapa ayat al-Quran antaranya: l Ayat 60 surah al-An'am firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Dialah yang menidurkan kamu pada waktu malam, dan mengetahui apa yang kamu kerjakan pada siang hari, kemudian ia bangunkan kamu (dari tidur) padanya, untuk disempurnakan ajal (masa umur kamu) yang telah ditetapkan. Kemudian kepada-Nyalah tempat kamu kembali, kemudian ia menyatakan kepada kamu apa yang kamu lakukan. l Ayat 42 surah al-Zumar firman Allah SWT yang bermaksud: Allah (yang Menguasai segala-galanya), ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati dalam masa tidurnya, kemudian ia menahan jiwa orang yang ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya). l Ayat 156-159 surah al-Nisa' firman Allah SWT yang bermaksud: Demikian juga (Kami laknatkan mereka) dengan sebab kekufuran mereka dan tuduhan mereka terhadap Maryam (dengan tuduhan yang amat dustanya. Dan juga (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan: "Sesungguhnya kami telah membunuh al-Masih Isa Ibni Maryam, Rasul Allah". Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak memalangnya (di kayu palang - salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa). Dan sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham, mengenai Nabi Isa, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak (ragu-ragu) tentang menentukan (pembunuhannya). Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata, dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin. Bahkan Allah telah mengangkat Nabi Isa kepadanya, dan adalah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Dan tidak ada seorang pun dari kalangan ahli Kitab melainkan ia akan beriman kepada Nabi Isa sebelum matinya dan pada hari kiamat kelak Nabi Isa akan menjadi saksi terhadap mereka. bangsa Yahudi Al-Maraghi berkata: "Ayat ini mengkhabarkan adanya unsur-unsur kehinaan dan kerendahan darjat bangsa Yahudi yang berlanjutan sehingga hari akhirat. Perkara ini memang terbukti sehingga tidak didapati orang Yahudi yang menjadi raja atau memiliki sebuah negeri sendiri. "Perkara ini berbeza dengan kaum Nasrani tetapi para pengikut al-Masih belum lagi membuktikan kenyataan ini pada zaman hidup Baginda. Ini disebabkan mereka dikuasai oleh orang Yahudi. "Oleh itu, pengertian kemenangan yang pertama (kemenangan rohaniah keagamaan) yang lebih sesuai dijadikan cermin". Sesungguhnya kedatangan Nabi Isa kepada bangsa Yahudi dengan tidak membawa syariat baru. Bahkan kedatangan baginda adalah untuk menghapuskan sikap kolot dalam memahami syariat Nabi Musa a.s yang dilakukan secara formal. Tujuan kedatangan baginda juga adalah untuk memberi kefahaman yang benar kepada mereka. Dari itu, ia bermaksud penganut agama Ahli Kitab terhadap beku kepada kata-kata formal ayat suci. Justeru, mahu tidak mahu mereka memerlukan seorang pembaharu seperti Nabi Isa yang menjelaskan kepada mereka rahsia syariat dan jiwa agama. Dan semuanya itu ada dalam al-Quran, tetapi mereka telah tertutup lantaran taklid. Masa kehidupan Nabi Isa a.s merupakan zaman yang mana manusia telah berpegang teguh pada roh agama dan syariat Islam untuk memperbaiki jiwa dan bukan hanya berpegang kepada tulisan dan kata-kata formal ayat suci. Sebaliknya, golongan dajjal adalah simbol terhadap kaum pembuat khurafat iaitu kebohongan dan kebusukan. Di mana perbuatan ini akan hilang apabila syariat hidup dengan sewajarnya termasuk jiwa dan hikmahnya. Sedangkan kitab al-Quran merupakan penyuluh terbesar kepada hikmah dan jiwa agama. Begitu pula sunnah Rasul yang penuh dengan penjelasan seperti ini. Muhammad Quraish Shihab berkata: "Kata mutawaffika diambil dari kata yang bermakna sempurna. Al-Quran menggunakannya antara lain untuk makna mati dan tidur. Dia bermakna mati kerana siapa yang wafat maka umurnya di dunia telah sempurna dan kerana tidur mirip dengan mati dari sisi hilangnya kesedaran maka tidur pun dinamai mati oleh al-Quran dan sunnah". Hamka berkata: "Adalah satu kenyataan bahawa kita terdiri dari berbagai golongan. Kadang-kadang kita bertukar pandangan dan fikiran, kadang-kadang berebut pasaran dan pengaruh. "Lantaran bertengkar kita lupa kewajipan kita mengabdikan diri kepada Allah SWT. Lupa bahawa hidup di dunia fana yang pendek ini hendaklah diisi dengan amal yang baik, jasa yang berguna dan ilmu yang berfaedah. "Janganlah kamu terlalu banyak berselisih faham. Hanya membazirkan waktu yang terluang dengan bertengkar dan bermusuhan sesama sendiri". Akhirnya penulis ingin mengemukakan sekali lagi pendapat Ibn Kathir berkenaan hal ini. Katanya: "Sesungguhnya Isa al-Masih tatkala Allah SWT mengangkatnya ke langit, rakan-rakan dan pengikutnya berpecah ketika itu: i. Ada yang beriman dengan apa yang Allah bangkitkannya bahawa Nabi Isa adalah hamba Allah, Rasul-Nya dan anak kepada Maryam. ii. Ada di kalangan mereka yang melampaui sehingga menjadikan Isa sebagai anak Allah. iii. Lebih teruk lagi ada di kalangan mereka menganggap Nabi Isa adalah Allah SWT. iv. Seterusnya di kalangan mereka mendakwa Nabi Isa adalah salah satu daripada tiga Tuhan. Semuanya itu dihikayatkan Allah dalam al-Quran serta membangkang dan membidas puak mereka. Mereka berkeadaan begini hampir 300 tahun, kemudian mereka telah dipimpin oleh Raja Yunan digelar dengan nama Qustantin yang bertujuan untuk merosakkan agama Kristian kerana ia asalnya seorang ahli falsafah. Dikatakan beliau amat jahil tentang agama dan mengubah ajaran al-Masih, menambah dan meminda, menggubah undang-undang serta khianat yang amat berat. Antara tindakannya, beliau menghalalkan daging khinzir dan solat ke arah timur, meletakkan gambar-gambar dalam gereja, menambah puasa 10 hari kerana dosa yang dilakukannya sehingga jadilah agama al-Masih bertukar kepada agama Qustantin. Beliau telah membina banyak gereja dan tempat ibadat melebihi 12,000 gereja, di samping menisbahkan nama kota kepadanya. Untuk keterangan lanjut boleh rujuk kitab tafsir Ibn Kathir dan al-Firaq Wa Adyan. Semoga Allah menjadikan kita di kalangan orang Islam yang beriman kepada Nabi-nabi dan Rasul-rasul termasuk Nabi Isa a.s.
Labels: Kisah Nabi Dan Rasul
ERISTIWA Israk dan Mikraj merupakan perjalanan dan mukjizat agung yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia yang paling layak dan teragung, Rasulullah SAW. Dalam perjalanan tersebut diperlihatkan kepada Baginda SAW pelbagai gambaran dan pemandangan dari alam penuh rahsia yang kesemuanya itu mengandungi pelbagai hikmah dan hakikat yang akhirnya bersangkut paut dengan apa yang berlaku di alam zahir ini dari urusan dan kehidupan para hamba. Peristiwa Israk dan Mikraj penting untuk dihayati terutamanya manusia zaman kini yang semakin jauh dari dapat menyelami hikmah-hikmah Ilahi. Sesungguhnya Israk dan Mikraj menyimpan pelbagai rahsia dan membongkar pelbagai pengajaran, peringatan dan kelebihan terutamanya kedudukan Rasulullah SAW yang istimewa di sisi-Nya. Pengajaran Tentang Solat Antara pengajaran terpenting yang diperolehi daripada perjalanan Israk dan Mikraj ialah tentang solat. Di antara kefarduan solat dan mukjizat Israk dan Mikraj, terdapat hubung kait yang begitu mendalam dan erat, sehingga munasabahlah dinamakan solat itu sebagai al Mikraj al Ruhi. Apabila Mikraj Nabi kita SAW dengan jasad dan rohnya ke langit sebagai suatu mukjizat, maka Allah SWT menjadikan bagi umat Muhammad SAW Mikraj Roh pada setiap hari sebanyak lima kali. Di mana roh dan hati mereka pergi menemui Allah bagi memastikan mereka bebas dari kekangan hawa nafsu dan menyaksikan keagungan Allah, kekuasaan serta keesaan-Nya, sehingga mereka menjadi orang yang mulia di atas permukaan bumi ini. Kemuliaan yang diperolehi bukan dengan jalan penindasan, kekuatan dan kemenangan, tetapi dengan jalan kebaikan dan ketinggian, jalan kesucian dan kemuliaan serta jalan solat. Tidaklah solat itu sekadar robot atau pergerakan alat-alat yang tidak mempunyai makna, tetapi ia adalah sebuah madrasah yang mendidik kaum mukminin atas semulia-mulia makna kebaikan, kecintaan dan kemuliaan dalam menempuh kesesakan hidup, hiruk-pikuk dan kejahatannya. Solat merupakan sebesar-besar amalan dalam Islam. Sesiapa yang memeliharanya, maka dia akan memperolehi kebahagiaan dan keuntungan. Sesiapa yang meninggalkannya, maka dia akan memperolehi kecelakaan dan kerugian. Allah SWT telah memfardukan solat ke atas hamba-hamba-Nya yang beriman supaya ia menjadi penghubung dengan hadrat-Nya, peringatan tentang keagungan-Nya dan tanda kesyukuran hamba-Nya atas nikmat yang dicurahkan-Nya. Ia merupakan asas bagi mencapai kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sabda Rasulullah SAW: "Amalan pertama yang dihisab bagi hamba pada hari kiamat adalah solat. Sekiranya solatnya itu baik, maka baiklah segala amalannya. Sekiranya solatnya itu rosak, maka rosaklah segala amalannya yang lain". (Diriwayatkan oleh al Tabrani di dalamal Awsot juga disebut di dalam Majma' al Zawaid (1/291)). Tidak menjadi suatu perkara yang pelik apabila solat dijadikan sebagai kepala amalan. Sesungguhnya dengan melazimkan diri menunaikan solat secara sempurna dengan khusyuk dan khudhu' kepada Allah, akan menanam di dalam jiwa sifatmuraqabah kepada-Nya. Sesiapa yang telah mencapai muraqabatullah, akan berasa takut kepada-Nya, bertakwa kepada-Nya, menunaikan perkara yang menjurus kepada keredaan-Nya, berkata benar apabila berbicara, menunaikan janji apabila berjanji, menunaikan amanah, bersabar ketika ditimpa kecelakaan dan bersyukur dengan nikmat-Nya. Firman Allah SWT dalam surah al-Maarij ayat 19 hingga 23: Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. Dan apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut; kecuali orang-orang yang mengerjakan solat. Iaitu mereka yang tetap mengerjakan solatnya. Seorang hamba yang memelihara solatnya dengan sempurna, tidak akan terleka daripada muraqabatullah dalam kesibukan dan urusan sehariannya. Sesungguhnya sesiapa yang memelihara solatnya dengan menunaikannya dengan khusyuk, akan diampunkan dosanya dan dikasihi oleh Tuhannya. Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya setiap solat itu menghapuskan kesalahan yang dilakukan di hadapannya". (riwayat Imam Ahmad dan al Tabrani). Sabda Baginda SAW lagi: "Sesiapa mengetahui bahawa solat itu adalah hak yang wajib, maka dia masuk syurga". Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, al Baihaqi dan al Hakim). Sesiapa yang tidak memelihara solatnya, maka dia diharamkan di dunia daripada memperolehi nikmat keberkatan, taufik dan kebaikan serta akan diazab selepas kematiannya dengan dihentakkan kepalanya ke batu. Setiap kali kepalanya itu pecah, akan dikembalikan seperti keadaan asalnya. Dia juga akan datang pada hari kiamat tanpa cahaya, petunjuk keimanan dan diharamkan terselamat dari azab, kehinaan dan kerendahan. Wahai kaum Muslimin! Bertakwalah kalian kepada Allah dan peliharalah solat serta tunaikanlah kerana Allah pada waktunya dengan khusyuk. Tiada yang menghalang kalian untuk menunaikannya walaupun disebabkan kesejukan dan juga pekerjaan. Bermujahadahlah sehingga kalian tidak mengabaikan menunaikan solat Subuh pada waktunya tatkala kalian berseronok menikmati kelazatan tidur dan ketika malas. Begitu juga bermujahadahlah sehingga kalian tidak lalai menunaikan solat Asar kerana terlalu sibuk mendahulukan pekerjaan. Berhati-hatilah kalian agar harta, perniagaan, kemegahan, takhta, pemerintahan dan kementerian tidak menyibukkan kalian dari menunaikan solat. Jadilah kalian dari kalangan mereka yang tergolong dalam firman Allah SWT yang maksud-Nya: (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan solat serta memberi zakat; mereka takutkan hari (Kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurnia-Nya; dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terhitung. (al-Nur: 37 dan 38) Daripada Abdullah ibn Amru berkata, pada suatu hari, Nabi SAW menyebut tentang solat dengan sabdanya: "Sesiapa yang memelihara solat maka baginya cahaya, petunjuk dan kejayaan pada hari kiamat. Sesiapa yang tidak memeliharanya, maka tiada baginya cahaya, petunjuk dan kejayaan. Pada hari kiamat, dia akan bersama Qarun, Firaun, Haaman dan Ubai ibn Khalaf". (riwayat al Tabrani dan Ibnu Hibban) Daripada Abi Hurairah r.a berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Apakah pandangan kalian, jika ada sebatang sungai di pintu rumah salah seorang dari kalian, dia mandi di dalam sungai tersebut pada setiap hari sebanyak lima kali. Adakah masih ada suatu kotoran yang tinggal pada badannya?" Sahabat menjawab, "Tidak ada suatu kotoran pun yang tinggal". Sabda Baginda SAW, "Begitu jugalah perumpamaannya dengan solat lima waktu yang dengannya Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan. (riwayat al Bukhari dan Muslim) Banyak lagi pengajaran yang terdapat dalam peristiwa Israk dan Mikraj terutamanya beberapa keistimewaan yang dikurniakan kepada Rasulullah SAW bagi menunjukkan kepada kita tentang ketinggian martabat Baginda SAW. Semoga kita digolongkan di kalangan orang-orang yang celik mata hati sehingga kita dapat menghayati hikmah dan pengajaran di sebalik peristiwa agung, Israk dan Mikraj.
Labels: Kisah Nabi Dan Rasul
Al-HARIS bin Hisyam telah bertanya kepada Rasulullah: "Ya Rasulullah, bagaimana wahyu itu mendatangi kamu"? Maka berkata Rasulullah: "Kadangkala wahyu itu mendatangi saya seperti dengungan loceng, dan ia adalah yang paling berat ke atas saya, maka apabila wahyu itu putus daripada saya, dan saya telah ingat daripadanya apa yang dia katakan. Dan kadangkala malaikat hadir menyerupakan dirinya sebagai seorang lelaki, maka dia berkata-kata kepada saya, dan saya ingat apa yang dia katakan."
"Berkata Siti Aishah r.a: "Dan sesungguhnya saya telah melihat, turun ke atas Rasulullah akan wahyu, pada suatu hari yang sangat sejuk, maka ia pun putus daripadanya, dan sesungguhnya dahi baginda benar-benar mengalirkan peluh. (riwayat al-Bukhari)
Hadis-hadis di atas adalah sebagaimana yang disebutkan pada keluaran lalu bagaimana Rasulullah SAW menerima wahyu. Wahyu, perkataan bahasa Arab yang berasal daripada perkataan awha bermaksud inspirasi daripada orang lain atau arahan seseorang.
Sebagai umat Islam kita memahami dengan jelas bahawa wahyu itu merupakan ayat-ayat al-Quran yang diturunkan (Nuzul al-Quran), iaitu kata-kata perintah Allah kepada Nabi Muhammad sebagai Rasul-Nya.
Terkeliru
Tetapi kita jangan sama sekali terkeliru apabila dalam ajaran Nasrani yang kononnya hendak mengangkat martabat wahyu itu dengan hujah bahawa tidak dinamakan wahyu itu dengan Allah hanya berkata-kata atau dengan lain perkataan; that God must speaks for Himself!
Seperti yang diambil dari Laman Web; answering.islam. org. Mereka berhujah; "Kita mesti sedar bahawa Allah tidak boleh mewahyukan Dirimya hanya dengan perkataan-perkataan sahaja. Di sini Dia mewahyukan keterangan berkenaan Dirinya maka Dia mestilah mempunyai keperibadian dan kehendak. Mewahyukan Dirinya secara "terbuka" dan "pendedahan" dan ini hanya akan berlaku apabila tubuh disediakan untuk Dia".
Lantaran itu Nabi Isa kononnya dikatakan berkata; "Barang siapa telah melihat Aku, telah melihat Bapa" (Johanes 14:9) Ini menjadikan wahyu itu dikatakan sempurna kerana ia tidak sekadar kata-kata kecuali wahyu itu adalah secara terus menerus langsung daripada Tuhan.
Tidak mustahil hujah seperti ini dikatakan logik dan akan 'termakan' oleh kalangan umat Islam itu sendiri, tetapi kita perlu menyedari al-Quran bukannya seperti kitab Injil yang boleh didapati dalam versi Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru. Namun, apa yang kita miliki hari ini merupakan al-Quran yang menempuh satu perjalanan yang sangat panjang dan ajaibnya, seluruh kandungan kitab itu tetap bersih daripada sebarang penyelewengan. Tidak ada tokok tambah, jauh sekali daripada kata-kata manusia di dalamnya!
Ini terjadi kerana Rasulullah sendiri tidak membenarkan hadis itu ditulis ketika baginda masih hidup kerana khuatir terkeliru atau bercampur gaul dengan ayat-ayat al-Quran yang masih diturunkan kepada baginda.
Wahyu merupakan satu sumber daripada pelbagai sumber bagi mendapatkan ilmu dan kedudukannya sebenarnya adalah paling teratas kerana ia sangat bersifat ketuhanan (divine). Lantas bagi seorang manusia biasa seperti Nabi Muhammad menerima wahyu itu, pada asalnya adalah tidak mudah.
Malah untuk berhadapan dengan malaikat Jibrail itu sendiri dan seluruh proses penurunan wahyu pertama ini telah menyebabkan baginda menganggap dirinya gila! Ini apabila kita tidak mempunyai jiwa yang besar dan kuat, tidak akan ada sanggup memikul beban kenabian itu dengan syarat pertamanya, diaturkan pertemuan dengan 'seorang' malaikat!
Terbangun dengan ketakutan
Penulis sejarah Islam terkenal, Hussein Haekal menulis selepas Jibrail menyampaikan surah pertama, al-Alaq itu baginda Nabi Muhammad terus terbangun dengan ketakutan dan kebingungan. Baginda dikatakan benar-benar tidak dapat menafsirkan apa yang telah berlaku kepada dirinya.
"Adakah ini semua khayalan sebagaimana kebanyakan penyair yang berkhayal dan bercakap seorang diri yang sering ku sifatkan sebagai orang gila?," ujar baginda.
Sebenarnya tidak wajar untuk baginda berasa takut kerana sebagaimana yang diceritakan oleh Ibnu Ishaq bahawa wahyu pertama itu datangnya dalam keadaan baginda berjaga dan di waktu siang.
Walau dalam banyak kisah yang kita dengar sebelum ini Rasulullah dikatakan segera keluar dari Gua Hira' dan untuk terus pulang ke rumah.
Tetapi Haekal dan Al Mubarakfuri mencatatkan sebaik sahaja baginda keluar dari Gua Hira' itu, satu sinar terang menderang memancar di hadapan baginda. Ini diikuti satu suara memanggil baginda; "Hai Muhammad! hai Muhammad! Kamulah Rasulullah dan aku adalah Jibrail!," berulang kali.
Baginda yang mendongakkan kepala ke langit iaitu arah datangnya suara itu dan baginda dapat melihat dengan jelas malaikat Jibrail dalam rupa seorang lelaki dengan kedudukan kedua-dua kakinya berada di ufuk langit.
Jika pada gambaran pada mata kasarnya bagi menunjukkan betapa 'luar biasa' malaikat Jibrail yang merupakan hamba Allah yang paling setia pernah tercipta oleh-Nya.
Namun baginda yang masih ketakutan itu memalingkan mukanya ke arah lain bagi tidak mahu berhadapan dengan Jibrail namun demikianlah hebatnya ciptaan Allah ini, Jibrail tetap kelihatan di mana-mana arah yang
Haekal menyebut; "tetapi rupa malaikat yang sangat indah itu tidak juga lalu dari depannya".
Lalu baginda tidak dapat berundur atau maju ke hadapan kecuali terpaksa berhadapan dengan malaikat itu malah dikatakan baginda terdiam kaku dengan agak lama di luar Gua Hira' itu.
Sehinggalah malaikat Jibrail menghilang lalu Nabi Muhammad tersedar dan menyambung semula langkah untuk segera pulang ke rumah.
Jika kita berada dalam keadaan yang seperti dilalui oleh baginda, maka jawapannya tentu sama, jantung berdegup dengan kenyang dan seluruh badan menggeletar!
Sebaik sahaja tiba di rumah, baginda disambut oleh Siti Khadijah yang sebelum ini begitu bimbang dengan keselamatan suaminya itu sehingga menyebabkan beliau menghantar orang untuk mencari di Gua Hira'.
"Wahai Abu Qasim, ke mana engkau pergi? Demi Allah aku telah menghantar orang untuk mencari engkau sehinggalah mereka mencari mu ke Mekah dan pulang ke rumah dan memberitahu tidak menemui mu di mana-mana," kata Siti Khadijah.
Tetapi baginda terus mendakap paha isterinya dan meminta supaya dirinya diselimutkan. Siti Khadijah segera menyelimutkan baginda kerana mendapati tubuh suaminya itu menggigil seperti seseorang yang sedang demam kuat.
Setelah ketakutan baginda beransur reda lalu baginda menceritakan kepada Siti Khadijah apa yang telah dialami dan dilihatnya sebentar tadi. Namun baginda lebih menyatakan kebimbangannya, semua yang berlaku di Gua Hira' itu tidak lebih terpedaya oleh hatinya sendiri atau akan tidak lebih dianggap seperti ahli nujum pada pandangan orang lain.
Sebagai isteri, Siti Khadijah tidak sedikit pun curiga dengan kata-kata suaminya itu. Lalu beliau meminta supaya baginda berehat untuk melelapkan mata dan Siti Khadijah sendiri kemudiannya bangun meninggalkan Rasulullah menuju untuk menemui seseorang.
Ikuti kisah selanjutnya di keluaran akan datang.
Labels: Kisah Nabi Dan Rasul


