Kefahaman adalah syarat utama dalam menuntut ilmu. Bila faham baru dapat ilmu dan apabila hendak beramal kalau tidak faham tidak menepati peraturan. Ada ramai orang Islam silap faham mengenai tawakal. Mereka yang tidak faham ini sering menyalahkan keadaan apabila gagal atau tidak berjaya dalam satu-satu usaha.
Semua orang disalahkannya sehingga Allah pun turut dipersalahkan. Masyarakat Islam awal mencipta kecemerlangan kerana faham “tawakal” yang betul.
Tawakal maknanya ialah menjadikan Allah sebagai wakil dan berserah kepada-Nya dalam menentukan segala ketentuan. Reda adalah hasil daripada keyakinan jitu terhadap ketentuan Allah.
Tawakal diawali dengan usaha dan kemudian barulah berserah kepada Allah. Tawakal juga mengajar kita budaya berstrategi.
Kalangan Rasul walau pun mereka mendapat pertolongan Allah, mereka tidak pernah terkecuali daripada merancang dan berusaha.
Nabi Muhammad s.a.w. merancang dalam peristiwa hijrah walau pun Allah melindungi baginda, bersembunyi di Gua Thur, menggunakan khidmat dan kepakaran orang walau pun seorang yang kafir kerana beliau tahu jalan sulit ke Madinah.
Dimintanya Saidina Ali tidur di bilik tidurnya. Itu semua usaha yang akhirnya baginda bertawakal dan Allah menentukan kemenangan.
Nabi Yusuf apabila mendapat mimpi raja, baginda mula merancang berjimat dan menyimpan selama tujuh tahun dan apabila datang kemarau selama tujuh tahun akhirnya negeri baginda terselamat daripada kemarau.
Mereka tawakal dan berserah selepas berusaha serta merancang. Begitu juga dengan Zulkarnain dalam menghadapi Yakjud dan Makjud, Allah memerintahkannya membina tembok sebagai menghadapi kejahatan bangsa itu dan mereka bertawakal akhirnya mereka selamat.
Orang sakit memang mesti berserah kepada Allah tetapi sebelum bertawakal mereka sepatutnya terlebih dulu berusaha dan merawat dengan mencari ubat dan berjumpa doktor. Selepas itu berserahlah kepada Allah sebab yang menyembuh ialah Allah.
Kita sering melihat orang berjoging dan bersenam. Jika ditanya, kenapa mereka beriadah, jawapan mereka ialah supaya badan sihat. Itulah makna tawakal iaitu berusaha.
Hari ini ibu bapa sangat mengambil berat pelajaran anak, dicarinya kelas tuisyen dan dipanggilnya guru ke rumah kerana pelajaran adalah aset masa depan anak. Tanpa disedari sebenarnya ibu bapa itu sedang menterjemahkan makna tawakal.
Duduk saja tanpa berusaha adalah adalah fahaman yang dangkal. “Nak buat macam mana cikgu, anak saya memang sudah dilahirkan bodoh.”
Berteriak sana-sini “kenapa umat Islam hari ini lemah” tanpa berbuat sesuatu adalah slogan kosong seperti anjing menyalak bukit.
Satu hari seorang sahabat datang berjumpa Rasul. Apabila baginda bertanya bagaimana kamu datang, beliau menjawab, menaiki unta. Nabi tanya; di mana unta kamu, beliau menjawab saya biarkan tanpa diikat sebab saya bertawakal kepada Allah. Nabi berkata; ikat unta kamu dulu dan barulah bertawakal.
Ikat di sini maknanya berusaha dan berbuat sesuatu supaya unta tidak dapat lari. Orang yang bertawakal sebenarnya sedang beribadat. Itulah namanya ibadat hati. Yakin dengan bantuan Allah selepas bersusah adalah akhlak di kalangan nabi.
Mereka yang bertawakal tidak ego dan lupa diri selepas mendapat apa yang dihajati. Sebab segala yang diperoleh itu adalah pemberian daripada Allah.
Orang yang bertawakal tidak akan berputus asa kerana belum usaha belum tahu. Peribahasa Melayu “hendak seribu daya tidak hendak seribu dalih” patut ditukar kepada “hendak seribu daya mahu seribu cara.”
Mesti perbanyakkan cara dan bukannya perbanyakkan dalih, jika kita umat Islam mahu mencapai kecemerlangan.
Labels: Minda