Kematangan Demokrasi, Kebebasan Penuh Tanggungjawab Dituntut
JIKA betul alangkah leganya apabila 2009 berakhir. Semoga 2010 memberikan kita peluang untuk kurang berpolitik. Rasanya bagi orang biasa yang bangun tidurnya bukan ditentukan oleh politik, 2009 menguji kesabaran dan daya tahan kita bila dihujani kisah politik yang bagaikan tiada henti.
Satu sebab kegiatan politik meningkat ialah kerana kejayaan parti pembangkang di tahun sebelumnya, dan pada 2009 ramai yang terkejut dengan kejayaan mereka semakin senang dengan kuasa di tangan.
Pada masa sama parti yang memerintah negara mula sedar apa yang perlu dilakukan untuk memenangi semula sokongan ramai.
Paling besar langkahnya ialah menukar pimpinan. Pelantikan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri menjana bermacam-macam cerita, ada yang pelik ada yang ajaib. Mungkin ini disebabkan ada yang bimbang dengan kepemimpinannya yang mungkin dapat menarik balik sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN).
Beberapa pilihan raya kecil yang datang beberapa bulan sekali juga menentukan bara politik tidak pernah padam. Khabarnya awal tahun baru ini pun mungkin kita akan berhadapan dengan pilihan raya kecil lagi.
Bagaimana pula tahun ini?
Tahun ini, malangnya, bahang politik mungkin tidak akan berkurang kerana semua pihak mahu menentukan mereka berada di tempat yang lebih baik untuk pilihan raya umum yang akan datang, tidak kiralah bila ia akan berlaku.
Yang tewas pada Mac 2008 mahu memperbaiki peluang mereka, dan yang menang mahu menentukan mereka terus menang.
Ramai yang berkata percaturan parti politik sekarang menunjukkan ke arah sistem dua parti di mana rakyat akan diberi pilihan antara dua bakal kerajaan, pimpinan dan ideologi politik.
Jika betul, baguslah. Ia bukan saja memberi kita pilihan, tetapi juga boleh menjadi satu asas pengukuran, di antara mereka yang memerintah dengan mereka yang ingin merampas tampuk kerajaan.
Malah apabila beberapa negeri bertukar tangan, kita diberi peluang untuk menilai bagaimana parti-parti politik bertindak bila berkuasa. Adakah mereka betul-betul cakap serupa bikin mengenai demokrasi, ketelusan, kepemimpinan, janji-janji pilihan raya, dan sebagainya?
Bukankah orang tua berkata sifat orang akan jelas dapat dilihat apabila hidup mereka senang atau diberi kuasa.
Pada tahun-tahun mendatang diharap jika pun kita sibuk berpolitik, mintalah ada adab dan tata susila. Janganlah menghina raja-raja kita, dan janganlah lakukan perkara yang menyentuh perasaan orang lain.
Jika kita tahu sesuatu tindakan akan menimbulkan marah elakkan daripada melakukannya, jika tidak orang akan anggap kuasa dah naik kepala.
Kita juga akan mengharungi lebih cabaran pada tahun akan datang, terutama dari segi ekonomi dan daya saing kita. Walaupun kita terselamat daripada kemelesetan ekonomi yang mulanya dijangka akan melanda dunia, kita tidak tahu apa yang akan menunggu kita pada dekad kedua abad ke-21 ini.
Yang pentingnya ialah menentukan kita bersedia untuk menghadapi cabaran sebagai sebuah negara, dan bukannya berbelah-bahagi menurut apa kata pemimpin politik masing-masing.
Kini juga kita lebih bebas bercakap, menulis dan bersuara. Ini satu perkembangan yang baik kerana ia membolehkan kita membincangkan dan berbahas segala perkara yang kita mahu. Namun kita mestilah tahu cara berbicara dengan baik. Tiada guna kita berbangga dengan kebebasan jika kebebasan itu membawa padah.
Rasanya kita tidak akan menoleh ke belakang lagi dalam hal ini, kebebasan yang kita nikmati tidak akan dapat ditarik balik.
Namun diharap kita semua mempunyai kematangan di mana kita dapat menilai yang mana madu dan yang mana racun, yang mana bernas dan yang mana membinasa, dan yang mana berniat baik dan yang mana
Kematangan ini perlu untuk menentukan kita boleh menerima apa jua yang terhasil daripada kebebasan dengan tabah dan rasional. Kebebasan bersuara bunyinya sedap, tetapi untuk menentukan ia kekal memang susah.
Apabila kita terima kebebasan bersuara sebagai hak kita, kita juga perlu faham tanggungjawab yang datang bersama. Kita perlu tahu kebebasan kadang-kadang bererti tiada had apa yang boleh kita katakan. Mampukah kita menerima fahaman yang bertentangan dengan kita? Mampukah kita menerima kata-kata yang mempersoalkan bahasa, bangsa dan agama suci kita?
Setiap kebebasan ada tanggungjawab, ada adat dan sopan, jika kita tidak tahu macam mana hendak menghargai kebebasan ini ia mungkin jadi masalah besar.
Kita perlu saling mengingati masing-masing supaya kebebasan tidak memakan tuan. Kita perlu tentukan kebebasan ini tidak hilang atau disalahgunakan. Itulah cabaran utama dekad ini.
Labels: Warna Kehidupan