PAS akan menjadi parti yang memperjuang kepentingan orang Melayu dan Islam menggantikan Umno jika Pakatan Rakyat membentuk kerajaan Persekutuan selepas 16 September ini.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yakin Pas akan memainkan peranan itu lebih baik daripada Umno seperti dilakukan di Kelantan sejak lebih 18 tahun lalu.

"Bila Umno tiada, Pas pun Melayu. Serupa juga. Saya ni orang Melayu. Bertahun-tahun saya di Kelantan. Lebih baik lagi. Bila kita jaga Melayu, jaga dunia sampai akhirat," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Ketika ditanya sama ada Pas akan menegakkan negara Islam selepas Pakatan Rakyat memerintah kerajaan Persekutuan, Nik Aziz berkata kerajaan Pakatan Rakyat boleh menjadikan Kelantan sebagai contoh negara Islam.

"Kalau ragu-ragu dengan negara Islam, tengok Kelantan. Itu contoh negara Islam. Pelaburan banyak. Kita minta Pakatan Rakyat tiru Kelantan. Kalau ada yang tidak betul... beritahu. Kita akan baiki," katanya.

Nik Aziz berkata, Pas juga akan meneruskan muqabalah atau muzakarah dengan Umno kerana pertemuan itu bertujuan untuk ingat-mengingati.

Katanya, pertemuan dengan Umno itu bukan bertujuan untuk membincangkan dasar kerajaan atau hal pentadbiran tetapi untuk memujuk supaya Umno menerima Islam secara menyeluruh.

Terdahulu, dalam ucapannya ketika menggulung perbahasan, beliau berkata, Pas perlu terus berdiri teguh dalam Pakatan Rakyat walaupun mengadakan muzakarah dengan Umno.

Beliau berkata, Pas mendekati Umno menerusi muqabalah kerana menyayangi sesama Islam.

Petikan:
Berita Harian Isnin, 18 Ogos 2008 | 16 Syaaban 1429

0 Comments:

Post a Comment



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...