"... Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri..." Surah ar-Ra’dAgen-agen anti-perubahan sedang bekerja keras untuk menghalang perubahan berlaku. Mereka membuat komplot dan konspirasi gelap agar segelintir yang berkuasa terus bertakhta di persada dan akan terus merompak khazanah negara.Rakyat bukannnya agenda utama mereka. Mereka tidak pernah pun peduli akan nasib rakyat. Biarlah rakyat merana terkangkang dek kenaikan harga minyak. Biarlah rakyat kelaparan kerana harga beras, gula dan tepung naik. Apa mereka peduli?Yang maha penting bagi mereka adalah terus berkuasa! Berkuasa! Berkuasa! Tanggal 8 Mac membawa arus igauan buruk kepada mereka. Perubahan menjadi mantera. Perkataan "perubahan" meniti di bibir setiap insan bernyawa di negara bertuah ini, tidak kira kaum dan agama, semuanya melaungkannya.Kerana keazaman yang teguh dan desakan rakyat yang kuat, yang mahu perubahan tidak terhenti setakat pada tarikh keramat 8 Mac. Maka lahirlah Pakatan Rakyat, gabungan tiga buah parti politik - PAS, DAP dan PKR. Ketiga-tiga parti yang mempunyai fahaman berbeza tapi mengakui hakikat betapa pentingnya untuk bersatu dan bekerjasama.Bersatu atas prinsip keadilan sejagat yang bukan sahaja sentiasa dituntut oleh Islam tetapi juga oleh semua agama.Peluang ini sememangnya benar-benar sebuah Harapan Baru. Harapan Baru yang melampaui slogan yang dilaungkan semata-mata.Rakyat Malaysia pada tanggal 9 Mac menghirup udara segar harapan ini. Harapan untuk melihat Malaysia yang bebas, harapan untuk mendapatkan hak mereka sebagai warganegara dan harapan untuk mengorak ke hadapan dengan semangat patriotisme yang baru.Semangat ini makna baru kepada rasa bernegara iaitu rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau agama mengimpikan ruang yang adil dan saksama untuk menyumbang dalam bidang pendidikan, ekonomi dam kebudayaan negara ini.Aspirasi ini adalah aspirasi yang dikongsi bersama semenjak beberapa bulan yang lalu dan semakin hari semakin tinggi keinginan ini untuk melihat sebuah kerajaan baru. Bila saja tersebar berita bahawa ada usaha memujuk ahli parlimen BN untuk beralih arah dan meninggalkan Barisan Nasional, rakyat menyambutnya dengan sokongan penuh.Rakyat sedang melihat dengan dekat perubahan yang bakal terjadi. Dukungan terhadap proses peralihan kuasa mula merebak.Tambahan lagi apabila kerajaan BN tidak menunaikan janjinya untuk memastikan harga minyak petrol berada di paras yang munasabah.Kita di ambang Malaysia yang baru, adil dan saksama. Rakyat mahu merdeka dari pemerintah yang telah mencengkam mereka selama ini. Rakyat sudah tidak sabar dengan kebobrokan kerajaan Barisan Nasional yang zalim dan terpalit korupsi serta nepotisme.Tuntutan perubahan sudah tidak boleh ditahan lagi. Kerjasama Pakatan Rakyat dilihat sebagai wahana bagi seluruh rakyat Malaysia yang mahu kepada perubahan yang menyeluruh.Umno yang menerajui Barisan Nasional sudah gementar. Mereka dengan pantas bertukar menjadi antik sejarah. Umno dan Barisan Nasional adalah tajuk perbualan lapuk dan membosankan.Orang muda melihat Umno dan Barisan Nasional sebagai warisan purbakala, yang tidak mampu menjadi contoh yang baik kepada rakyat Malaysia. Umno sudah dikalahkan oleh rakyat!Kegelisahan melihat kemaraan rakyat membuatkan Umno mula bertindak ekstrem. Mereka sedar mereka harus memecahkan kerjasama Pakatan Rakyat.Peristiwa tahun 1998 memberi inspirasi. Mereka berfikir ligat dipandu nafsu untuk terus berkuasa. Fitnah dipintal dan Anwar Ibrahim menjadi sasaran. Tawaran pun dibuat kepada PAS atas alasan permuafakatan Melayu dan Islam.Rakyat merasakan ini merupakan permainan propaganda Umno. Tidak mungkin lebih dari itu.Ternyata harapan rakyat meleset. PAS benar-benar berjumpa Umno. Pertemuan itu diberi label "muzakarah" namanya (kemudian ditukar "muqabalah").Media arus perdana milik Umno tidak henti-henti memaparkan berita permuafakatan dan muzakarah. Slogannya "Melayu perlu bersatu!" Agama Islam harus menjadi pertimbangannya!Propaganda murahan yang sebenarnya dijadikan sebagai alas bagi menjustifikasikan muzakarah PAS-Umno.Rakyat sangsi dengan muzakarah ini kerana rakyat sebenarnya tidak pernah bodoh. Hanya Umno yang beranggapan sedemikian.Oleh kerana rakyat tidak pernah bodohlah, maka adanya etnik yang tidak beragama Islam sanggup mengundi calon PAS. Kerana rakyat tidak bodohlah PAS memenangi kerusi yang luar dari lingkungan penyokongnya.Rakyat tahu muzakarah tersebut adalah perbincangan untuk mengagihkan kuasa dan kekayaan di antara pemimpin PAS dan Umno.Rupa-rupanya sudah lama hilang politik Islam yang berpaksikan amanah.Amanah rakyat sudah dikhianati. PAS bersemuka dengan Umno dan bermuka-muka dengan rakan-rakan lain seperti Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang.Islam dijadikan komoditi tawar-menawar. Tawar-menawar bagi membolehkan orang kuat PAS menjadi timbalan perdana menteri dan seorang tua dari Terengganu yang hampir pupus nyawa politiknya menjadi senator dan kemudiannya dilantik menjadi menteri kabinet.Murah sungguh harga perjuangan politik pimpinan segelintir ini.Mereka sebenarnya bukan memperjuangkan Islam dan Melayu. Sejak bila Umno memperjuangkan Islam? Bukankah PAS melawan Umno selama ini kerana kegagalan Umno memperjuangkan Melayu dan Islam?Apakah Tuan Guru Hj Hadi AWang sendiri sudah lupa akan "Amanat Hj Hadi" yang tersohor itu? Jangan berlindung di sebalik tabir perkataan seperti dakwah dan Islam.Yang menjadi sebab PAS bermuzakarah dengan Umno ialah untuk perkongsian kuasa atau kerajaan campuran. PAS mulai risau dengan perkongsian kuasa formula Pakatan Rakyat.Mereka tidak senang duduk melihat terlalu banyak parti dan aliran, apatah lagi jika kemasukan ahli parlimen BN ke dalam Pakatan Rakyat menjadi kenyataan.Sedangkan kejamakan aliran dan parti merupakan petunjuk kepelbagaian yang sememangnya wujud dalam lapisan sosial dan politik masyarakat Malaysia.Mereka risau mereka hanya akan mendapat bahagian yang kecil sahaja daripada Pakatan Rakyat.Apa yang berlaku tidak sepatutnya terjadi. Janji harus dipegang dan komitmen harus sentiasa dipupuk di antarasa sesama saudara dalam Pakatan Rakyat.Rakyat telah memberi kepercayaan kepada Pakatan dan ini adalah amanah besar yang perlu dijaga. Jika ada yang mengkhianati amanah ini, rakyat sendiri yang akan menjadi hakim.

0 Comments:

Post a Comment



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...